KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mahu melihat jurang prestasi antara dua beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dengan gandingan lain dapat dirapatkan dan mampu menghadirkan persaingan.
Pengendali kelahiran Indonesia yang mendapat jolokan Naga Api itu berkata, pasangan Arif Junaidi-Yap Roy King serta Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian masih memerlukan masa untuk memperbaiki prestasi masing-masing.
“Saya berharap Arif-Roy King dan Haikal-Hon Jian boleh jadi pelapis kepada dua beregu utama (Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun), memang setiap pemain tak sama cara mereka adaptasi daripada program saya.
“Dua beregu ini masih di bawah, ini yang saya rasa perlu waktu lagi dan lebih terperinci, mesti bagi waktu buat mereka supaya bisa lebih cepat lagi mendekat kepada beregu-beregu yang di atas,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Ditanya tempoh yang diperlukan dua beregu itu, Herry berkata, setiap pemain tidak sama, seperti Aaron-Wooi Yik, mereka sudah matang, tetapi, buat Arif-Roy King dan Haikal-Hon Jian semenangnya memerlukan masa terutama Haikal yang lama ditimpa kecederaan.
Katanya lagi, berdasarkan pemerhatian semasa kejohanan, Haikal amat memerlukan ruang yang cukup bagi memulihkan kekuatan mental, justeru, pemain tersebut telah dirujuk kepada pakar psikologi bagi membantu kemajuan prestasinya.
“Mengenai Haikal, nombor satu kerana sudah lama tak bertanding, suasana pertandingan berbeza, kedua, adaptasi dengan program yang saya berikan.
“Sebab dulu mereka main dengan corak yang berbeza, bersama saya berbeza lagi, jadi dia memang perlukan masa untuk sesuaikan diri,” katanya.
Selain itu, Herry turut memuji juara remaja dunia, Kang Khai Xing-Aaron Tai yang tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan corak latihannya.
Mengulas pula mengenai sasaran pada Terbuka Jepun dan Terbuka China, Herry berharap beregu bimbingannya dapat membawa pulang sekurang-kurangnya salah satu gelaran daripada dua kejohanan tersebut.-UTUSAN