Nilai City tarik diri MPFL Divisyen 2

Sukan

PETALING JAYA: Saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 2 pada musim ini dikejutkan dengan penarikan diri pasukan, Nilai City SC.

Perkara itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekali gus memberi imej buruk dan menjejaskan prestij pertandingan yang berstatus profesional itu.

Menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan FAM, badan induk itu menerima surat penarikan diri Nilai City SC atas alasan ketiadaan pemain.

“Surat rasmi penarikan diri itu diterima FAM, pagi tadi yang mana Nilai City SC membuat keputusan berkenaan selepas mengambil kira isu pelanggaran kontrak oleh beberapa pemain utama yang gagal menghadirkan diri ke sesi latihan dan perlawanan,” kata kenyataan itu.

Difahamkan sebahagian pemain pasukan itu mengambil tindakan memboikot pasukan sehingga menyaksikan pada perlawanan minggu lalu hanya lima pemain yang turun bermain.

Susulan keputusan berkenaan, FAM memutuskan tujuh aksi dilalui pasukan itu sebelum ini dibatalkan sementara perlawanan berikutnya selepas ini turut dibatalkan.

“Nilai City SC juga boleh dikenakan tindakan lain termasuk hukuman denda dan penggantungan, bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM serta Jawatankuasa Tatatertib FAM.

“Carta kedudukan terkini MPFL Divisyen 2 2025 selepas mengambil kira semua keputusan perlawanan membabitkan Nilai City SC yang dibatalkan akan dikemas kini selepas berakhirnya kesemua perlawanan pada Hari Perlawanan 9, hari ini,” jelas FAM.

Pada Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan FAM akan melakukan siasatan berhubung insiden pembatalan perlawanan membabitkan Nilai City SC berdepan Pulau Pinang dalam aksi MPFL Divisyen 2.

Pembatalan perlawanan itu dipercayai kerana kehadiran pemain Nilai City yang tidak mencukupi dan pasukan itu mengulangi perkara sama ketika tewas 4-0 kepada Kelantan FT dengan hanya lima pemain beraksi.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Rosmadi Ismail berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan meminta jawatankuasa pertandingan MPFL untuk melakukan siasatan dalaman terhadap kelab itu.-UTUSAN