Bola sepak Kelantan belum ‘mati’

Sukan

KOTA BHARU: Bola sepak di Kelantan belum terkubur selepas puluhan ribu peminat hadir menyaksikan perlawanan membabitkan bekas pemain The Red Warriors (TRW) di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Kehadiran hampir 25,000 penonton yang melimpah sehingga ke trek stadium keramat Kelantan bagi aksi Ex-TRW 2012 menentang Ex-Double Treble itu jelas membuktikan peminat TRW rindukan zaman kegemilangan mereka.

Perlawanan berkenaan sememangnya menggamit semula memori di zaman kegemilangan TRW yang pernah merangkul tiga kejuaraan pada 2012 selain pernah membawa nama Malaysia ke pentas saingan Piala AFC.

Rata-rata peminat teruja dan menyifatkan perlawanan tersebut sebagai pentas untuk melepaskan rindu kepada pasukan kesayangan biarpun sedar suasana itu sukar untuk diulangi semula pada ketika ini.

Bagaimanapun, jika kena caranya, bola sepak Kelantan boleh bangkit semula apabila ada wakil daripada negeri berkenaan beraksi dalam saingan Liga Super dan juga Liga A1 Semi Pro pada musim depan.

Dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, Kelantan Darul Naim (KDN) akan beraksi di pentas tertinggi Liga Super, manakala Kelantan WTS dan Kelantan Red Warriors (KRW) pula berentap di Liga A1 Semi Pro.

Untuk nasib ketiga-tiga pasukan itu bergantung kepada mereka sendiri, jika melakar deretan kemenangan, maka berduyung-duyunglah peminat akan berkampung di stadium untuk memberi sokongan.

Itulah uniknya bola sepak Kelantan.- UTUSAN