PETALING JAYA: Sebanyak tujuh negara termasuk Jepun, India, Singapura, Thailand, Indonesia, Bangladesh dan Guam bakal menyertai Kejohanan Golf Amatur Wanita (LAO) Kali Ke-48 di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC).
Kejohanan kali ke-48 itu yang akan bermula 5 hingga 7 Ogos ini, terus mengukuhkan reputasi RSGC sebagai antara pentas golf wanita amatur paling berprestij di rantau Asia Pasifik.
Pengerusi kejohanan, Ai-Leen Tan berkata, RSGC komited menyediakan platform kompetitif kepada pemain wanita untuk mengasah bakat selain memberi pendedahan ke peringkat antarabangsa.
“Kami sangat teruja kerana dalam tempoh 10 tahun ini, kejohanan ini semakin kompetitif dan berjaya menarik penyertaan pemain yang benar-benar berpotensi. Ramai dalam kalangan mereka telah beralih ke peringkat profesional dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami juga amat berbangga kerana dapat menyediakan platform yang konsisten dan berkualiti untuk membantu para pemain wanita ini melangkah ke pentas antarabangsa,” katanya.
Menurut Ai-Leen, selain pemain tempatan, beberapa bintang luar dari Guam, Bangladesh, Indonesia, Thailand, Singapura, Jepun dan India menyatakan persetujuan untuk bertanding dalam kejohanan itu.
Katanya, kejohanan itu telah melahirkan pemain berbakat seperti Mirabel Ting (juara 2023) dan Winnie Ng yang muncul juara sebanyak dua kali sepanjang penganjurannya.
“Saban tahun kejohanan itu menampilkan pemain lebih berkualiti. Ramai pemain yang bergelar profesional dan kami berbangga kerana dapat menyediakan platform bagi mereka untuk melangkah ke tahap lebih tinggi.
“Setakat ini, saya tidak dapat berkongsi mengenai pemain ternama dari dalam negara yang akan menyertai, tetapi akan ada yang hadir dari Persatuan Golf Malaysia (MGA),” katanya.
Buat julung kali, pemenang terbaik dari kalangan pemain ASEAN akan menerima slot khas ke Pusingan Kelayakan ASEAN, sekali gus memberi laluan langsung ke kejohanan profesional bertaraf antarabangsa.
Antara nama besar yang pernah menjulang kejuaraan ini termasuk Mirabel Ting (juara 2023) yang kini pemain No. 2 dunia dalam World Amateur Golf Ranking (WAGR), serta Winnie Ng Yu Xuan yang merangkul gelaran pada 2019 dan 2024 sebelum beralih ke arena profesional.
Turut pernah muncul juara ialah Lim Siew Ai, pemain wanita Malaysia pertama beraksi di Jelajah LPGA, serta Loy Hee Ying dan Natasha Andrea Oon yang kini bergiat aktif dalam kejohanan antarabangsa.
Kejohanan ini bakal berlangsung di dua lapangan iaitu Old Course dan New Course dan penyertaan terbuka kepada pemain wanita amatur berumur 12 tahun ke atas yang memiliki Indeks Handicap USGA 13.4 dan ke bawah. – UTUSAN