Sukan hoki kehilangan sebuah permata

Sukan

PETALING JAYA: Jenazah bekas pemain hoki kebangsaan dan Olimpian, Muhammad Khairy Nunis Abdullah atau lebih dikenali Kevin Nunis telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Sinar pada pukul 10.45 pagi semalam.

Allahyarham, 65, meninggalkan seorang balu, Rahimah Awang Mohd dan tiga orang anak.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Jasa Allahyarham kepada sukan hoki Malaysia terlalu banyak bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga banyak menyumbang kepada pembangunan sukan itu apabila menjadi jurulatih Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP),” kata Subahan.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur kelmarin selepas mendapatkan rawatan selama beberapa bulan akibat jangkitan kuman dalam darah.

Khairy mewakili Malaysia dari tahun 1978 hingga 1989 dan turut beraksi pada temasya Sukan Olimpik Los Angeles 1984. – UTUSAN