Mohd Nasir dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana

Perniagaan

PETALING JAYA:  Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melantik Tan Sri Mohd Nasir Ahmad sebagai Pengerusi Kumpulan baharu berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2025, menggantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi pada 30 April lalu.

Menurut kenyataannya, Mohd Nasir sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sehingga bersara pada 1 Jun 2011. 

Beliau juga telah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB Holdings Berhad sejak tahun 2018. 

AMIR HAMDAN

Sementara itu, Prasarana turut mengumumkan pelantikan Amir Hamdan sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) berkuatkuasa 15 Julai 2025, menggantikan Mohd Azharuddin Mat Sah, yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 14 Julai 2025. 

Katanya, pelantikan Amir sejajar dengan komitmen Prasarana untuk memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelangsungan operasi syarikat dalam usaha menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, cekap dan berdaya saing. 

“Sebelum pelantikan ini, Amir memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana dan telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecekapan operasi serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana.

“Beliau menyertai Prasarana pada tahun 2019 sebagai Timbalan Ketua Pegawai Kewangan sebelum dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd pada tahun 2022. 

“Sepanjang menerajui Rapid Rail, beliau telah berjaya memacu pelbagai inisiatif penambahbaikan yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan operasi serta kebolehpercayaan perkhidmatan rel,” katanya.

Prasarana berkata, Amir merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari Lincoln University of New Zealand dan Sarjana dalam Amalan Kewangan Islam dari INCEIF University serta ahli bertauliah Association of Chartered Certified Accountants (ACCA). 

“Lembaga Pengarah dan barisan Kepimpinan Kanan Kumpulan Prasarana mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Mohd Nasir dan Amir. 

“Pengalaman luas yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh ini mampu memperkukuh lagi usaha Prasarana dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan memenuhi aspirasi kerajaan untuk mencapai sasaran 40 peratus kadar penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2030,” ujarnya. 

Prasarana turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Mohd Azharuddin Mat Sah atas jasa dan kepimpinan mereka sepanjang empat tahun menerajui syarikat ini. 

“Kepimpinan mereka telah berjaya mentransformasi organisasi, memperkukuh tadbir urus serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam demi manfaat rakyat dan negara.

“Kepimpinan unggul mereka dalam menerajui Prasarana telah menjurus kepada pencapaian termasuk merekodkan jumlah penumpang harian rel dan bas tertinggi pada 31 Disember 2024 seramai 1.5 juta, mengurangkan jumlah gangguan perkhidmatan rel daripada 255 (2022) kepada 71 gangguan (2024) serta pengenalan beberapa inisiatif baharu seperti perkhidmatan van Rapid On-Demand (ROD),” ujarnya. – UTUSAN