PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membayangkan tidak akan membuat sebarang rayuan berhubung keputusan penggantungan keahlian parti.
Beliau yakin dirinya tidak akan diadili sebaiknya serta enggan menggadaikan prinsip yang dipegang selama ini.
Ahli Parlimen Sembrong itu menegaskan ia bukan tentang soal keahlian, kedudukan dan jawatan semata-mata.
“Ada yang kata saya terhegeh-hegeh dan bodoh sombong. Penting untuk saya katakan ini adalah soal prinsip integriti, keikhlasan dan keadilan yang selama ini saya pegang dalam UMNO.
“Ya, merayu dengan menulis surat memang ramai ingat senang, tetapi bagi perjuangan saya selama ini, ia bukan sekadar menjadi ahli kembali.
“Ini tentang memegang nilai dan prinsip. Bukan saya sahaja, tetapi melibatkan pemimpin UMNO terdahulu daripada kita. Ini yang sukar untuk saya kompromi,” katanya menerusi hantaran sebuah video dalam media sosial, hari ini.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat malam semalam, bersedia menimbang sebarang rayuan oleh ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin termasuk Hishammuddin.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan jelas memberi ruang kepada mana-mana individu yang ingin mencabar keputusan tindakan tatatertib terhadap mereka melalui saluran yang sah dalam parti.
Hishammuddin berkata, usul agar penggantungan keahlian dirinya ditarik balik bukan datang daripadanya, sebaliknya ia datang daripada UMNO Bahagian Sembrong.
“Maka, menjadi tanggungjawab kepemimpinan parti untuk memberi jawapan dan penjelasan kepada mereka, bukan kepada saya.
“MKT UMNO telah membuat keputusan dan sebenarnya ia mencerminkan siapa mereka, bukan siapa kita,” katanya.
Beliau menjelaskan akan terus melangkah kehadapan dengan bermaruah dan berprinsip kerana ia adalah perjuangan nilai dan makna.
“Rayuan bukan penentu kesetiaan saya, prinsip di dalam parti yang menentukan kesetiaan kita sebagai orang parti,” katanya.
Bekas Menteri Pertahanan itu turut mendedahkan beliau tidak menerima sebarang penjelasan atau perincian lanjut berhubung keputusan untuk menggantung keahliannya pada malam 27 Januari 2023.
Katanya, beliau hanya menerima surat rasmi tiga hari selepas tarikh tersebut yang menyatakan dirinya digantung atas alasan melanggar fasal dalam Perlembagaan UMNO.
“Sehingga hari ini, saya masih tidak dimaklumkan secara rasmi dan bertulis mengenai sebarang kesalahan spesifik yang saya didakwa telah lakukan.
“Saya tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan atau membela diri. Saya tidak dibicara di hadapan Jawatankuasa Disiplin,” katanya. – UTUSAN