KUALA LUMPUR: Berdasarkan data terkini dari platform pelancongan digital terkemuka, Agoda, Kuching berjaya merampas semula gelaran ini daripada Kuala Terengganu, yang mendahului pada musim sebelumnya (April hingga Mei).
Dengan kadar purata penginapan sekitar RM227.64 semalam, Kuching sekali lagi membuktikan bahawa “bagai sirih pulang ke gagang”, ia tetap menjadi pilihan utama bagi percutian bajet rakyat Malaysia.
Melihat kepada senarai di peringkat Asia, Surabaya, Indonesia muncul sebagai destinasi paling bajet, dengan kadar purata hanya RM150.33 semalam, diikuti oleh Tirupati, India (RM158.92) dan Hat Yai, Thailand (RM167.51).
Menurut Fabian Teja, Pengarah Negara Agoda untuk Malaysia dan Brunei: “Data Agoda kali ini jelas membuktikan bahawa ramai pelancong masih bijak memilih destinasi yang bukan sahaja menarik, malah mesra poket. Sama ada meneroka lorong-lorong bersejarah di Kuching, menikmati sajian jalanan di Hat Yai atau menyelami keunikan budaya di Tirupati, semuanya memberi peluang untuk mencipta kenangan tanpa membuat dompet menangis,” ujar beliau.
Senarai ini adalah hasil analisis kadar purata hotel di 10 destinasi paling popular di sembilan pasaran utama Asia.
1. Surabaya, Indonesia – RM150.33
Surabaya cukup dikenali dengan sejarahnya yang panjang dan budayanya yang penuh warna. Berjalan di sekitar kota ini, anda boleh menikmati keindahan seni bina bersejarah, merasai suasana pasar yang meriah, dan tentunya mencuba aneka hidangan jalanan yang menggoda selera. Selain itu, Surabaya juga sering menjadi pintu masuk utama buat mereka yang ingin meneroka keindahan alam sekitar seperti Gunung Bromo dan Pulau Madura.
2. Tirupati, India – RM158.92
Tirupati, yang terkenal dengan Kuil Venkateswara, memang menjadi tempat tumpuan buat mereka yang ingin menenangkan jiwa. Namun, seperti kata pepatah, ‘sambil menyelam minum air’, kunjungan ke sini bukan sekadar untuk beribadat sahaja. Tirupati turut menjanjikan pengalaman budaya yang indah dengan festival yang meriah, alunan muzik tradisional yang mendayu, dan sajian masakan India Selatan yang mampu membuka selera sesiapa sahaja.
3. Hat Yai, Thailand – RM167.51
Terkenal dengan pasar yang sentiasa hiruk-pikuk, Hat Yai sememangnya destinasi serba lengkap. Selain suasana bandar yang penuh warna, kota ini juga menjadi pintu masuk ke pantai dan pulau-pulau cantik di sekitarnya. Sesuai untuk anda yang ingin menikmati keindahan alam dan keseronokan kota dalam satu perjalanan.
4. Dalat, Vietnam – RM193.28
Tersembunyi di Tengah Tanah Tinggi, Dalat memang terkenal dengan cuaca sejuk, pemandangan cantik dan bangunan gaya kolonial Perancis yang penuh pesona. Kalau anda jenis yang suka ‘cuci mata sambil hirup udara segar’, boleh cuba aktiviti seperti mendaki, berbasikal atau jalan-jalan di taman bunga yang penuh warna.
5. Iloilo, Filipina – RM201.87
Iloilo menjanjikan gabungan menarik antara tinggalan sejarah, pantai yang memukau dan pilihan makanan tempatan yang menyelerakan. Di sini, anda boleh menjejak kaki ke gereja kolonial Sepanyol yang berusia ratusan tahun, menikmati hidangan tempatan yang unik, dan beristirahat di pantai-pantai indah di pulau-pulau berhampiran.
6. Kuching, Malaysia – RM227.64
Lebih daripada sekadar bandar, Kuching adalah lambang keharmonian pelbagai kaum di Malaysia. Dari taman negara, muzium warisan, hingga ke pasar kek lapis – semuanya ada.
7. Nagoya, Jepun – RM386.55
Nagoya penuh dengan pengalaman menarik untuk para pengembara. Dari Istana Nagoya yang ikonik hinggalah ke Muzium Peringatan Toyota yang sarat dengan sejarah industri. Bagi penggemar makanan, jangan lepaskan peluang menikmati hidangan terkenal di sini iaitu hitsumabushi, nasi bersama belut panggang yang cukup menggoda selera. Buat kaki shopping pula, kawasan membeli-belahnya yang sentiasa sibuk pasti membuatkan anda rambang mata memilih.
8. Kaohsiung, Taiwan – RM386.55
Kaohsiung, sebuah bandar pelabuhan yang penuh warna-warni, menawarkan gabungan menarik antara warisan budaya, pasar malam yang meriah dan lokasi indah seperti Lotus Pond yang terkenal. Bagi anda yang ingin merasai keunikan selatan Taiwan, Kaohsiung sememangnya destinasi yang tidak menghampakan.
9. Daejeon, Korea Selatan – RM399.44
Daejeon menawarkan gabungan tarikan moden dan keindahan alam semula jadi. Antara lokasi yang wajib dikunjungi termasuklah Expo Science Park dan Yuseong Hot Springs yang cukup popular. Dengan taman-taman hijau dan muzium yang menarik, Daejeon sesuai untuk percutian bersama keluarga mahupun buat yang ingin mengembara secara solo.
Dengan lebih daripada lima juta pilihan penginapan, 130,000 laluan penerbangan, dan lebih 300,000 aktiviti menarik, Agoda menjadi rakan setia bagi rakyat Malaysia yang mahu melancong dengan bijak. – UTUSAN