MAHB tambah ‘Calm Room’ di Terminal 2, KLIA

Perniagaan

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) membuka satu lagi Bilik Tenang (Calm Room) di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyokong keperluan penumpang yang memerlukan suasana tenang dan mesra deria.

Kemudahan itu merupakan lanjutan kepada inisiatif The Butterfly Effect, yang diperkenal pada 2021 sebagai usaha membantu penumpang yang mempunyai autisme, ADHD, kelewatan perkembangan global (GDD) dan lain-lain.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd.  Izani Ghani, langkah itu sejajar dengan komitmen syarikat untuk mewujudkan lapangan terbang inklusif dan bebas halangan serta melatih pekerja mereka agar lebih memahami dan membantu dalam segala urusan.

“Kami komited untuk menjadikan inklusiviti sebagai standard di semua lapangan terbang kami. Peluasan The Butterfly Effect mencerminkan komitmen ini dengan menyediakan pengalaman perjalanan yang bebas halangan serta menyokong penumpang yang mempunyai penyakit seperti autisme dan sebagainya. 

“Kami bukan sahaja menyediakan kemudahan fizikal, tetapi juga melatih petugas barisan hadapan agar mampu memahami serta membantu pelbagai keperluan penumpang dengan lebih empati,” katanya dalam kenyataan. 

Tambah beliau, lebih 4,450 penumpang telah mendapat manfaat menerusi perkhidmatan yang disediakan sejak pelancaran The Butterfly Effect. 

MAHB turut bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Lembaga Pengiktirafan Penganalis Kelakuan Gunaan (QABA), Pusat Autisme IDEAS (IAC) dan Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bilik Tenang di Terminal 2 itu terletak di Aras Mezanin (3A) dan dilengkapi pencahayaan boleh laras, panel dinding deria, sistem keselamatan serta alat terapi seperti tiub gelembung, lampu gentian optik dan audio menenangkan.

Dalam pada itu, patung beruang edisi khas akan diberikan kepada 50 pengguna pertama bilik tersebut.-UTUSAN