KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak melihat apa-apa masalah bakal timbul dalam persiapan Kelantan untuk menjadi penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) ke-23 pada tahun 2028.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kerajaan negeri Kelantan dan KBS mempunyai jalinan kerjasama cukup erat yang memudahkan semua urusan sekali gus memastikan segala persiapan berjalan lancar.
“Ketua Setiausaha KBS juga telah bermesyuarat dengan Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal bagi memastikan kerjasama antara kerajaan negeri dan kementeian berjalan lancar.
“Prestasi stadium dan fasiliti yang sedang dibangunkan juga berjalan mengikut jadual,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan ASEAN RoboC’25 dan Hari Kerjaya TVET ILKBS Zon Timur 2025 di Tunjong, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perkembangan kerja pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh, dekat sini, baru mencapai 17.8 peratus tetapi bergerak mengikut garis masa projek.
“Kompleks yang bakal menjadi venue utama SUKMA ke-23 itu dijangka siap sepenuhnya pada September 2027,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Segambut itu memberitahu, Kolam Renang Sultan Yahya Petra yang dibina sejak tahun 1972 perlu dibaiki serta dinaiktaraf bagi memastikan ia selamat digunakan oleh anak-anak kecil.
Katanya, fasiliti tersebut adalah milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun pihaknya akan cuba membantu berikutan ia turut digunakan oleh KBS untuk menganjurkan kelas renang percuma bagi kanak-kanak B40 di negeri ini.
“Kita belum tahu kos yang diperlukan untuk baik pulih dan naik taraf kolam renang tersebut kerana ia akan disediakan oleh pihak KPM. Tetapi KBS akan bantu sebanyak yang mungkin.
“Lebih penting bagi kita adalah memastikan tahap keselamatan di fasiliti yang merupakan satu-satunya kolam renang milik kerajaan di Kelantan. Kita nak bantu anak-anak kecil memperoleh kemahiran berenang khususnya mereka di kawasan banjir sereta merekodkan banyak kes lemas,” ujarnya.-UTUSAN