Tiada masalah guna warisan jika tepati syarat

Sukan

KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong usaha persatuan sukan termasuk bola sepak, akuatik dan renang membawa masuk atlet warisan untuk mewakili negara.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sokongan itu diberikan sekiranya persatuan terbabit mematuhi peraturan antarabangsa yang ditetapkan badan sukan masing-masing.

“Setiap sukan mempunyai peraturan antarabangsa masing-masing sama ada berkaitan pemain warisan atau naturalisasi.

“Jika Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan, kita okay. Sekiranya World Aquatics membenarkan atlet warisan (bagi sukan akuatik), kita juga tiada masalah kerana ia mengikut peraturan yang diluluskan badan sukan masing-masing.

“Kita beri keutamaan kepada bakat tempatan, namun setiap pasukan yang keluar bertanding pasti mahu kemenangan. Selagi mereka mahu menang dan ikut peraturan, KBS akan beri sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian The ASEAN Youth Robot Challenge 2025 (ASEAN Y-RoboC’25) dan Hari Kerjaya Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Timur 2025 di Tunjong, semalam.

Dalam masa sama, Hannah menegaskan KBS tetap mahu membangunkan akar umbi atlet ditambah dengan program naturalisasi atau warisan pemain.

Katanya, KBS sudah menyalurkan peruntukan RM1 juta melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bagi tujuan pembangunan atlet akar umbi terutamanya untuk sukan-sukan Olimpik.

“Kita mahu buat kedua-duanya. Bangunkan dan perluaskan bakat-bakat sukan (bermula daripada peringkat akar umbi), namun pada masa yang sama mahukan kemenangan.

“Langkah memberi ruang kepada atlet warisan tidak bermakna bakat tempatan akan terpinggir, sebaliknya ia akan mewujudkan persaingan sihat yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak

Tambahnya, atlet memerlukan saingan lebih kompetitif sebagai dorongan untuk lebih maju dan mencapai prestasi lebih baik.-UTUSAN