PETALING JAYA: Malayan Tigress akan berdepan cabaran sebenar ketika berdepan pendahulu kumpulan H, Korea Utara dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia Wanita 2026, esok.
Skuad kendalian Joel Cornelli mencatat kemenangan kedua, semalam apabila menumpaskan Tajikistan 1-0, sekali gus mengutip enam mata maksimum dalam dua perlawanan.
Kemenangan itu memberi harapan buat Malaysia untuk layak ke pusingan seterusnya, namun Cornelli mengakui ujian sebenar skuad negara adalah dalam perlawanan terakhir, esok.
“Kami sangat gembira dengan dua kemenangan ini kerana ia memberi kepercayaan kepada pemain untuk percaya kepada diri sendiri dan usaha mereka. Namun, perlawanan menentang Korea Utara adalah sesuatu yang sangat berbeza.
“Mereka (Korea Utara) berada di tahap yang lain dan telah menjaringkan 20 gol dalam dua perlawanan sebelum ini.
“Tapi kami tidak akan menyerah. Kami akan cuba lakukan sesuatu, mungkin menukar strategi untuk lebih fokus kepada pertahanan dan kekal konsisten,” katanya selepas perlawanan menentang Tajikistan.
Cornelli turut menegaskan bahawa dalam bola sepak, segala kemungkinan boleh berlaku dan beliau mahu anak buahnya terus percaya kepada kemampuan masing-masing.
Sementara itu, kapten negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli menyifatkan kejayaan mengutip enam mata dalam kempen aksi kelayakan Piala Asia adalah sesuatu yang membanggakan.
“Pada separuh masa pertama, kami agak bergelut, tapi kami terus berjuang hingga akhir. Ini kali pertama saya bermain dalam kelayakan Asia dan dapat enam mata adalah pencapaian besar.
“Kita perlu terus menyimpan harapan dan percaya bahawa tiada yang mustahil. Kami akan berusaha sedaya mungkin untuk mencipta kejutan menentang Korea Utara,” kata Intan.
Malaysia kini berkongsi mata enam mata dengan Korea Utara, namun lawan yang bakal dihadapi esok itu berada di kedudukan teratas dengan kelebihan jaringan.
Mengikut format pusingan kelayakan, hanya juara kumpulan akan mara ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di Australia dari 1 hingga 21 Mac tahun depan.- UTUSAN