PETALING JAYA: Pemaju hartanah, WM Senibong Sdn. Bhd. (WM Senibong), melancarkan galeri jualan keduanya di Crest@Austin, Johor Bahru.
Ketua Pegawai Eksekutif WM Senibong Sdn. Bhd., CK Quay berkata, pihaknya menerima sambutan luar biasa pada pembukaan galeri tersebut sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pasaran terhadap projek itu serta pertumbuhan positif sektor kediaman di Johor.
“Respon positif ini menunjukkan daya tarikan Crest@Austin yang dirancang dengan baik dan terletak di lokasi strategik, selaras dengan potensi kenaikan nilai hartanah di Crest@Austin yang mencatatkan peningkatan nilai melebihi 50 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.
“Selain menjadi pemangkin transformasi bandar yang terancang, kami percaya projek ini melambangkan usaha membina komuniti yang berkembang maju dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya dalam kenyataan.
Quay berkata, pengunjung berpeluang meninjau unit pameran berskala sebenar yang mewakili reka bentuk akhir unit kediaman, sekali gus memberi gambaran realistik kepada bakal pembeli di galeri jualan tersebut.
“Unit pameran berskala benar ini merupakan representasi tepat bagi kediaman yang telah siap supaya dapat memberikan gambaran yang jelas dan realistik tentang ruang kediaman yang ditawarkan kepada bakal pembeli,” katanya.
Katanya, perbandaran Crest@Austin juga menempatkan beberapa projek terdahulu WM Senibong yang berjaya termasuk Ruby Terrace, Sapphire Cluster dan Emerald Business Park yang telah siap dibina dan diserahkan kepada pemilik.
“Projek-projek ini dikenali kerana reka bentuknya yang praktikal, kualiti binaan, serta lokasi strategik yang mudah diakses melalui koridor Tebrau.
“Crest@Austin bukan sekadar kawasan kediaman, ia turut menawarkan taman-taman yang saling berhubung, tasik-tasik yang indah dan ruang hijau khas seperti Central Lake Park seluas 20 ekar, North Park dan Sapphire Lake Park bagi menggalakkan gaya hidup sihat, aktif dan mesra pejalan kaki,” katanya.
Selain itu, lokasinya yang berdekatan dengan destinasi utama seperti Aeon Tebrau, Ikea, Toppen Shopping Centre, hospital-hospital utama serta akses mudah ke lebuh raya menjadikannya pilihan strategik bagi pembeli rumah dan pelabur.
Pembangunan bertingkat tinggi yang dicadangkan di Crest@Austin itu dibangunkan di atas tanah seluas 4.21 ekar dan dijadualkan dilaksanakan dalam dua fasa, melibatkan tiga menara kediaman yang keseluruhannya merangkumi sekitar 900 unit.
Pembangunan ini dirancang untuk mentakrif semula kehidupan bandar dengan gabungan susun atur yang direka teliti, landskap hijau, serta lokasi yang berhampiran dengan pelbagai kemudahan gaya hidup utama bagi mengukuhkan posisi pasarannya sebagai sebuah kediaman moden yang berfokuskan komuniti.-UTUSAN
=