PETALING JAYA: Hakim Danish Ramli kembali ke litar perlumbaan selepas dua minggu berehat, namun, cabaran kali ini jauh lebih getir menjelang pusingan ketiga Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP di Litar de Nevers Magny-Cours, Perancis, hujung minggu ini.
Pelumba berusia 17 tahun yang kini menetap di Barcelona, Sepanyol sejak Mei lalu, giat menjalani persiapan intensif bukan sahaja untuk JuniorGP, tetapi, juga bagi saingan Piala Red Bull MotoGP Rookies yang menyaksikan Hakim Danish selaku pendahulu keseluruhan.
Bagaimanapun, cabaran pada JuniorGP lebih hampir kepada Kejuaraan Dunia Moto3 di mana Hakim Danish amat bergantung kepada kepakaran pasukan menyediakan jentera kompetitif untuknya.
Tidak seperti MotoGP Rookies yang menyediakan jentera sama taraf daripada pengeluar KTM, Hakim Danish amat memerlukan sokongan krew pasukan bagi menghadirkan cabaran sengit kepada pendahulu, Brian Uriarte yang memiliki motosikal sangat laju.
Selepas dua pusingan, anak jati Terengganu itu kini berada di tangga keempat dalam carta JuniorGP selepas mengumpul 38 mata, manakala Uriarte dari Sepanyol semakin selesa dengan 75 mata.
Setakat ini, Hakim Danish berjaya mencatat satu podium (naib juara) dalam aksi pembukaan di Litar Estoril, Portugal, Mei lalu, manakala, di Litar Jerez pada Jun berlaku kemerosotan prestasi apabila dia sekadar melengkapkan saingan di tangga ke-9 (perlumbaan 1) dan ke-5 (perlumbaan2).
Hakim Danish bukan sekadar berdepan cabaran daripada Uriarte, tetapi juga daripada pelumba Scotland, Rico Salmela (52 mata) dan Leonardo Zanni (39 mata) dari Itali.
Masih menggunakan jentera KTM, Hakim Danish yang mewakili pasukan SIC Racing-MSI berkata, dua minggu lalu, dia berpeluang menjalani ujian tertutup di Magny-Cours.
“Bagi saya, litar ini agak teknikal dan saya masih perlu memperbaiki tunggangan serta mencari tetapan yang lebih sesuai, saya berharap segalanya dapat berjalan dengan lancar minggu ini,” katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing-MSI, Zulfahmi Khairuddin pula berkata, sasaran utama pasukan adalah untuk kembali ke podium bersama Hakim Danish.
“Saya yakin dengan motivasi dan keyakinan Danish dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menamatkan perlumbaan dengan cemerlang, mengekalkan momentum, serta kedudukan dalam kejuaraan.
“Secara jujurnya, saya percaya pasukan mampu menyediakan jentera kompetitif dan yakin dengan kematangan serta tunggangan Danish untuk memberikan saingan hebat minggu ini,” katanya.-UTUSAN