Perkhidmatan perbankan asas dikecualikan SST

Perniagaan

PETALING JAYA: Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) mengesahkan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu tidak akan melibatkan perkhidmatan perbankan asas yang digunakan oleh rakyat Malaysia secara meluas.

Dalam kenyataan  itu, perkhidmatan perbankan asas yang melibatkan yuran atau komisen seperti yang berkaitan dengan akaun semasa (akaun cek), akaun simpanan atau akaun-akaun yang serupa dengannya, termasuk e-dompet adalah tidak tertakluk kepada cukai perkhidmatan. 

Katanya, perkhidmatan ini termasuk yuran bagi deposit dan pengeluaran tunai, pembayaran, atau pemindahan dana wang yang dilakukan dalam negeri, yuran bagi pengeluaran kad debit dan yuran tahunan seterusnya.

“Ini termasuk transaksi asas yang dilakukan di cawangan bank atau mesin ATM seperti pembayaran bil, pencetakan penyata akaun simpanan atau akaun semasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

 Di samping itu, persatuan itu berkata, yuran tahunan yang dikenakan ke atas kad kredit/kad caj juga adalah dikecualikan daripada cukai perkhidmatan. 

“Faedah dan keuntungan dan penalti atau caj punitif lain tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan.

 “Pengecualian di atas bertujuan untuk memastikan aktiviti perbankan harian untuk pengguna individu kekal tidak terjejas oleh pengembangan cukai perkhidmatan,” katanya. 

Kerajaan mengumumkan SST yang diperluas dilaksanakan mulai 1 Julai 2025, dengan cukai jualan sebanyak lima hingga 10 peratus dikenakan ke atas barangan terpilih dan bukan keperluan.

Di bawah struktur yang disemak semula, barangan keperluan termasuk hasil tani segar, buah-buahan tempatan, beras, minyak masak, roti, gula, ubat-ubatan dan bahan binaan akan kekal dikecualikan daripada cukai jualan.

Walau bagaimanapun, barangan pilihan atau mewah tertentu seperti ketam raja, buah-buahan import, cendawan trufel, minyak pati, dan fabrik sutera akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5 peratus manakala barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan antik akan dikenakan cukai jualan yang lebih tinggi sebanyak 10 peratus.-UTUSAN