perlu fokus rakyat, pelaburan strategik dan ekonomi hijau

Perniagaan

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka memberi tumpuan kepada pemulihan jangka sederhana, transformasi struktur ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing, serta menangani isu rakyat seperti kos sara hidup dan keselamatan sosial dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). 

Penganalisis Ekonomi Fakulti Ekonomi, Perniagaan dan Perakaunan, Kolej Universiti i-CATS, Kuching, Sarawak, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, tiga teras utama RMK13 iaitu rakyat, pelaburan dan industri dijangka kekal penting. 

“Penekanan dijangka kepada peningkatan produktiviti melalui digitalisasi, automasi, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, serta pengurusan fiskal yang berhemat dan penyampaian dasar yang lebih responsif.

“Untuk rakyat, tumpuan harus diberi kepada isu kos sara hidup, perumahan mampu milik, pendidikan, kesihatan dan memperkukuh jaring keselamatan sosial untuk golongan B40 dan M40.

“Bagi pelaburan dan industri pula, katanya, kerajaan perlu mendorong pelaburan berkualiti tinggi dalam industri digital, teknologi tinggi, tenaga boleh diperbaharui (RE), semikonduktor, elektrik & elektronik (E&E), selain menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pembangunan luar bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, bidang tenaga hijau, dasar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), digitalisasi, kecerdasan buatan (AI), keselamatan makanan dan sekuriti sosial antara yang dijangka menerima peruntukan lebih besar memandangkan komitmen Malaysia terhadap kelestarian, tekanan global dan keperluan meningkatkan kedaulatan makanan akibat cuaca ekstrem dan isu geopolitik.

“Pelaksanaan RMK13 mesti telus, berimpak tinggi, berdasarkan data dan suara rakyat, serta kerajaan perlu tegas dalam pemantauan KPI supaya sumber benar-benar memberi pulangan sosio-ekonomi,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, RMK13 perlu menjadi kesinambungan kepada agenda ekonomi madani namun pada masa sama memberi ruang lebih luas untuk pelabur tempatan berkembang.

Katanya, pelaburan langsung asing (FDI) sememangnya penting tetapi ada kelemahan apabila syarikat asing lebih mementingkan keuntungan tanpa memberi limpahan ekonomi yang sepatutnya kepada negara.

“Kalau sebelum ini kita banyak bercakap tentang FDI, sebenarnya sudah sampai masanya kita memperbanyakkan DDI. Kita perlukan projek-projek besar yang melibatkan pelabur tempatan sendiri.

“Kadang-kadang mereka menggajikan pekerja asing, bayar murah, dapat pengecualian cukai bertahun-tahun, tetapi tidak berlaku pemindahan teknologi seperti yang kita harapkan,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada perbelanjaan yang memberi kesan langsung kepada rakyat dalam RMK13 yang akan datang.

“Dengan jumlah penduduk mencecah hampir 35 juta orang, keutamaan terhadap kebajikan rakyat dilihat sebagai strategi paling berkesan untuk menjana pertumbuhan inklusif dan mampan. 

“Pelaburan dalam sektor berimpak tinggi seperti kesihatan awam, pendidikan, infrastruktur asas dan pendigitalan bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan modal insan serta produktiviti jangka panjang negara.

“Dalam situasi fiskal yang ketat, setiap sen perlu dibelanjakan dengan bijak. Program yang memberi manfaat terus kepada rakyat akan memberi pulangan sosioekonomi yang lebih tinggi,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pembiayaan inovatif dijangka turut menjadi pertimbangan kerajaan. 

“Antara opsyen yang dipertimbang ialah penggunaan dana SWF (sovereign wealth fund) berbentuk bon jangka panjang sebagai alternatif kepada pembiayaan konvensional.

“Penggunaan bon jangka panjang menerusi dana SWF boleh menjadi langkah bijak. Kosnya lebih rendah dan ia memberikan kestabilan dalam pengurusan kewangan kerajaan. 

“Ini juga membolehkan kerajaan mengekalkan momentum pembangunan tanpa terlalu bergantung kepada pinjaman jangka pendek,” tambah beliau.

RMK13 dijangka memberi tumpuan kepada keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial, dengan pendekatan fiskal yang lebih berhati-hati demi memastikan kemampanan fiskal negara dalam jangka masa panjang.

RMK13 dijangka dibentangkan di Parlimen pada 28 Julai ini.- UTUSAN