GEORGE TOWN : “Dia tak tunjuk apa-apa perubahan pun (sebelum meninggal dunia). Cuma dalam dua, tiga hari ini dia asyik tenung saya sahaja. Saya tanya: ‘Awat (kenapa) abah (nama panggilan kepada suami) tengok mama?’ Tapi, dia cuma diam dan tak cakap apa-apa.”
Itu kata Fildaanis Mat, 52, isteri kepada bekas penjaga gol Pulau Pinang, Firos Mohamed yang rebah di tengah padang ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Perak, semalam.
Firos, 53, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ Seri Manjung di sana pada pukul 10.23 malam tadi akibat serangan jantung.
Menurut Fildaanis, arwah suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia mengalami masalah kesihatan sepanjang perjalanan untuk menyertai kejohanan tersebut.
“Mula-mula, dia nampak bersemangat. Tidak lama lepas itu, dia rebah. Memang tak sangka. Anak bongsu kami pun pengsan kat tengah padang sebaik sahaja dapat tahu bapanya tidak sedarkan diri.
“Seingat saya, arwah ada mengalami demam dan muntah kira-kira dua minggu lalu. Tetapi, selepas itu, dia tetap aktif bersukan dan menguruskan segala hal berkaitan perlawanan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini, kira-kira pukul 4.30 petang tadi.
Sementara itu, seorang rakan arwah, Radzuan Putah, 60, memaklumkan, Firos pernah mengadu sakit dada ketika menyertai sesi latihan bola sepak minggu lalu.
“Semasa atas bas (dalam perjalanan ke Perak) pula, dia nampak macam biasa tapi sudah tak bersemangat.
“Memang pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar untuk sukan bola sepak. Bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di Malaysia,” kata Radzuan yang juga Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang.
Ketika hayatnya, Firos pernah dikenali sebagai antara penjaga gol terbaik era 90-an terutamanya semasa beraksi bersama skuad Harimau Kumbang.-UTUSAN