GOPENG: Landskap dan geopolitik negara dalam beberapa pilihan raya sebelum ini membuktikan tiada parti yang bersifat dominan yang mampu memiliki majoriti tanpa membentuk kerjasama dengan gabungan parti lain.
Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu strategi supaya parti itu bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) merupakan satu pilihan tidak bijak yang mampu mengugat survival parti tersebut.
“Cawangan-cawangan (UMNO ) banyak mengatakan dalam pilihan raya umum (PRU-16) kita (UMNO) harus pergi solo.
“Solo. Betul sedangkan kita ada kawan-kawan PKR dan DAP yang merupakan kawan baru.
“Kita ada kawan baru tetapi tidak pernah tinggalkan MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Pilihan raya sebelum ini berapa banyak yang menang apabila bertanding secara solo?. Kita tidak pernah tinggalkan kawan lama walaupun ada kawan baru dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gopeng di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi UMNO dan BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din.
Menurut Ahmad Zahid, strategi politik mesti digerakkan secara kolektif dengan melihat realiti semasa dan bukannya terikut-ikut dengan retorik kononnya bertanding solo akan memberi kelebihan.
“Kalau kita sombong, bongkak dan ujub, pergilah solo. Tetapi ingat, hari ini kita ada kawan-kawan dalam kerajaan, ada PKR, DAP, Amanah, GRS dan GPS serta Warisan yang sama-sama membentuk kerajaan.
“Kita bina kerajaan Perpaduan kerana tiada siapa dapat majoriti mudah. BN dapat 30 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 82. Itu pun masih belum cukup,” katanya.
Ahmad Zahid turut memuji sikap Wanita UMNO yang tidak pernah goyah dengan pendirian dan kekal setia dengan parti itu.
“Wanita UMNO ini sanggup menghadiri mesyuarat dan melakukan aktiviti berkaitan parti tanpa mengharapkan sebarang ganjaran walaupun semasa kita menang atau kalah ,” katanya. – UTUSAN