KEPALA BATAS : UMNO perlu mengubah pendekatan untuk memenangi hati rakyat agar parti itu tidak lagi kehilangan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dalam hal ini, kaedah luar biasa atau pemikiran luar kotak boleh digunakan bagi tujuan berkenaan.
“Di Pahang sebagai contoh, saya dah buat macam-macam pendekatan. Tapi, masih juga kehilangan kerusi.
“Jadi, untuk menghadapi pilihan raya akan datang, saya tidak boleh guna pendekatan yang sama semasa menghadapi PRU-15. Kena ada perubahan yang luar biasa iaitu berfikir di luar kotak.
“Bagaimana? Kita kena kaji apa yang harus kita buat sebelum pilihan raya. Contohnya, sekarang, kita telah mula mendekati anak muda dengan lebih agresif dan buat ‘engagement’ (keterlibatan bersama) dalam program tertentu. Dulu kita buat juga, tapi tidak serius.
“Itu yang saya maksudkan (dengan pemikiran luar biasa). Sebabnya, jika kita masih menggunakan pendekatan yang sama, kita akan mendapat keputusan yang sama juga (pada PRU-16)dan ini perlu kita ubah. Bukan sahaja di Pahang, tapi di semua negeri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas, di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang berkata, pendekatan yang sama setiap kali menghadapi pilihan raya juga tidak sesuai digunakan kerana politik itu sesuatu yang sangat progresif dan dinamik.
Justeru katanya, perubahan pendekatan itu penting terutamanya dalam menyantuni pengundi muda ketika ini.
“Mereka (pengundi muda) ini harus disantuni dan harus didekati kerana saya berpandangan, siapa (parti mana) yang terlebih dahulu memberi penerangan tentang perjuangan atau ideologi, maka, mereka akan lebih tertarik dengan siapa yang datang dulu,” ujar beliau.-UTUSAN