SSMP juara baharu MCKK Premier 7’s 2025

Sukan

PETALING JAYA: Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) mencipta sejarah apabila muncul juara baharu Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025 selepas menundukkan juara bertahan, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam aksi Cup Final yang mendebarkan di Padang The Malay College Kuala Kangsar, petang tadi.

Aksi kemuncak yang sarat dengan intensiti dan pertarungan fizikal menyaksikan SSMP mengatasi SSTMI 17-12, sekali gus merampas mahkota kejuaraan edisi ke-13 dan menamatkan penantian panjang mereka untuk bergelar juara buat kali pertama dalam sejarah kejohanan berprestij itu.

PEMAIN Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) berjaya melepasi kawalan pemain Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pada aksi Cup Final di Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025.-IHSAN MCKK

Ketangkasan serta disiplin tinggi dipamerkan barisan pemain SSMP sepanjang kempen menjadi kunci kepada kejayaan mereka, dan prestasi cemerlang Muhammad Ammar Zidan bin Mohd Zaid yang turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Zaharuddin Alias membuktikan dominasi mereka bukan sekadar kebetulan.

Sementara itu, pasukan tuan rumah, The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) tidak mengecewakan penyokong setia mereka apabila menamatkan kempen dengan penuh bergaya, meraih kemenangan 14-7 ke atas wakil Jepun, Shizuoka Seiko Academy (SSA) dalam aksi Plate Final.

Kemenangan ini menebus kehampaan gagal mara ke pentas final utama, namun tetap membuktikan keampuhan MCKK di laman sendiri.

Bagi saingan tempat ketiga dan keempat kategori Cup, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (THOR) meneruskan aksi konsisten apabila mencatat kemenangan tipis 10-7 ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KE VII), manakala Kolej Vokasional Arau (KVA) pula muncul juara kategori Bowl selepas menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba (HOSBA) 24-21 dalam aksi penuh dramatik.

Pasukan MRSM Balik Pulau turut mencuri tumpuan apabila menjuarai saingan kategori Shield dengan kemenangan meyakinkan 19-0 ke atas Maktab Tentera Diraja (RMC), menutup kejohanan dengan nota membanggakan.

Edisi kali ini bukan sahaja memperlihatkan kebangkitan kuasa baharu seperti SSMP, malah terus mengekalkan tradisi kejohanan sebagai pentas melahirkan bakat muda ragbi negara yang berani, berbakat dan berwibawa. Kejohanan MCKK Premier 7’s 2025 membuktikan ragbi sekolah menengah terus hidup dengan semangat juang luar biasa.-UTUSAN