Pemuda UMNO akan sedia gerak solo pada PRU16

Politik

KUALA SELANGOR: Ahli UMNO khususnya di peringkat Pemuda diingatkan untuk bersiap siaga menggempur Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) secara solo untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk tidak bersama Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, Pemuda perlu bekerja seolah-olah bertanding bersendirian supaya parti bersedia dan tidak dilihat lemah ketika berkempen.

“Supaya sesiapa pun yang pergi (bertanding) nanti, sama ada bersama Kerajaan Perpaduan atau tidak, kita benar-benar bersedia. Jadi, 1,001 kemungkinan, tetapi macam saya katakan tadi, kalau hendak bersama mesti ada batas-batasnya.

“Kalau tidak boleh dapatkan persefahaman, sudah tentu UMNO bersedia untuk pergi secara solo pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor 2025, malam tadi.

Beliau menambah, bagaimanapun perkara itu bergantung kepada perbincangan oleh kepemimpinan tertinggi UMNO sama ada memutuskan untuk bersama Kerajaan Perpaduan atau bertanding solo.

Sementara itu, Dr. Muhamad Akmal yakin UMNO mampu kembali tawan Selangor sekiranya pimpinan turun ke bawah dan membawa suara rakyat.

“Selangor berbeza, ada cara tersendiri dan saya percaya, tetapi ada satu persamaan iaitu rakyat. Hari ini tengok pemimpin yang benar-benar berkhidmat, bukan sekadar pemimpin datang ketika pilihan raya, lepas itu sudah menang, balik ataupun hanya datang secara tiba-tiba dalam tempoh dua minggu kempen beria-ia buat kerja.

“Hari ini, rakyat hendak melihat betapa prestasi pemimpin itu. Kalau kita yang berkhidmat, betu-betul turun ke bawah bawa suara rakyat, insya-Allah UMNO akan kembali bertakhta di hati rakyat,” ujarnya. – UTUSAN