Pemuda setia bukan bermakna tunduk

Politik

KUALA SELANGOR: Pimpinan UMNO disaran menghargai kesetiaan ahli akar umbi terutama yang berada di peringkat sayap seperti Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri walaupun parti tidak lagi berkuasa seperti dulu.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia adalah asas kekuatan parti daripada ahli-ahli yang tiada kepentingan atau mengharapkan projek tertentu dan jawatan, namun kekal setia hingga hari ini.

Menurutnya, UMNO tidak perlu lagi menempuhi zaman pengkhianatan apabila ramai pemimpin yang dijulang sebelum ini meninggalkan parti selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tujuh tahun lalu.

“Itu adalah kita panggil open secret. Semua sudah tahu sebelum UMNO kalah, ramai pemimpin yang datang menyatakan kita perlu setia, tetapi bila kalah, akhirnya yang tinggal inilah sebenarnya yang betul.

“Sudah tentu Pemuda hari ini adalah antara yang setia dengan perjuangan. Tetapi, setia bukan bermakna kita tunduk semata-mata setia. Kita kena tegur apa yang salah, kita beritahu apa yang betul, kita kena pertahankan.

“(Teguran) sudah tentu (kepada kepemimpinan) diri sendiri, Pemuda dan juga semua pimpinan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor 2025, malam tadi.

Malah, Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau sekali lagi mengingatkan pimpinan-pimpinan yang berdepan tindakan gantung keahlian sebelum ini supaya merendahkan ego demi kelangsungan parti.

“Ramai yang menyatakan UMNO tidak boleh dicarik-carik, saya setuju. Waktu itu, saya menyatakan bersedia menjadi jambatan bukan hanya kepada Hishammuddin (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) atau Khairy Jamaludin, tetapi ramai pemimpin yang dikenakan tindakan.

“Jadi, kalau mereka benar-benar sayangkan UMNO, sebab itu saya kata minta lower your ego, turunkan ego. Kalau sayangkan parti, baik daripada orang yang dikenakan tindakan mahupun pimpinan kita termasuk diri saya, turunkan ego demi parti.

“Sebab UMNO sudah tinggal 26 kerusi, jangan kita carik-carikkan lagi. Jadi, perlu dapatkan kesefahaman dan juga kesepaduan bersama. Sudah tentu sesiapa yang hendak masuk UMNO, yang dikenakan tindakan, kalau benar ikhlas sayangkan parti, you are most welcome. Parti bukan milik individu,” jelasnya. – UTUSAN