Pelabur asing catat aliran masuk bersih RM303 juta minggu lalu

Perniagaan

PETALING JAYA: Pelabur asing mencatatkan aliran masuk bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut, buat kali pertama sejak pertengahan Mei 2025, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM303.0 juta minggu lalu.

Jumlah tersebut adalah sembilan kali ganda lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya yang mencatat RM33.2 juta.

MIDF Research berkata,  pelabur asing merupakan pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali hari Jumaat, dengan aliran masuk harian antara RM23.3 juta hingga RM112.6 juta. 

Katanya, aliran masuk tertinggi direkodkan pada hari Khamis, diikuti oleh hari Selasa dengan RM106.8 juta. 

“Hari Jumaat merupakan satu-satunya hari dengan aliran keluar bersih iaitu sebanyak RM6.0 juta.

“Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk bersih pelabur asing tertinggi ialah utiliti sebanyak RM419.3 juta, produk dan perkhidmatan industri (RM182.8 juta), pengangkutan dan logistik (RM98.2 juta),”  katanya dalam kenyataan.

Selain itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih pelabur asing tertinggi pula ialah penjagaan kesihatan  RM177.0 juta, telekomunikasi dan media RM153.7 juta serta perkhidmatan kewangan RM78.9 juta.

Sementara itu, jelasnya, institusi tempatan meneruskan aktiviti pembelian bersih, menjadikan tujuh minggu berturut-turut aliran masuk, dengan jumlah RM61.0 juta minggu ini. 

“Namun begitu, jumlah ini lebih rendah berbanding minggu sebelumnya yang mencatat RM142.8 juta,” katanya.

Firma penyelidikan berkata, peruncit tempatan pula terus mencatat aliran keluar bersih buat minggu kedua berturut-turut pada RM363.9 juta iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya yang mencatat RM176.0 juta.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan menyeluruh pada minggu lepas iaitu peruncit tempatan 6.6 peratus, institusi tempatan 36.2 peritus, manakala pelabur asing 8.2 peratus,” katanya. – u