DRB-HICOM perkukuh penghangtaran kenderaan

Perniagaan

PETALING JAYA: DRB-HICOM Auto Solutions Sdn. Bhd. (DHAS) terus memperkukuh perkhidmatan penghantaran kenderaannya dengan menambah tujuh unit penggerak utama, MAN TGS 18.360 4×2 spesifikasi Euro V.

Ketua Pegawai Eksekutif DHAS, Fawzi Ahmad berkata, langkah ini sejajar dengan peningkatan permintaan kenderaan elektrik (EV) yang diimport ke pasaran automatif Malaysia.

“Sebelum ini, DHAS banyak bergantung kepada syarikat pengangkutan pihak ketiga dan hanya mengendalikan tiga unit penggerak utama jenama Jepun yang disewa.

“Namun bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, kami perlu memperluaskan armada milik sendiri dan memastikan kelangsungan jangka panjang perniagaan kami. 

“Selepas membuat penilaian menyeluruh dari pelbagai aspek, kami memilih penggerak utama MAN TGS spesifikasi Euro V kerana ia memenuhi semua keperluan kami,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, model tersebut dilengkapi teknologi canggih dengan sistem telematik bersepadu yang mesra pengguna, malah mempunyai reka bentuk kabin yang luas dan selesa untuk pemandu.

“MAN TGS dilengkapi teknologi canggih dengan sistem telematik bersepadu yang mesra pengguna. Pemandu kami amat menghargai reka bentuk trak ini kerana mempunyai kabin yang luas dan selesa,” katanya.

Dalam pada itu, DHAS turut menyatakan minat terhadap trak elektrik MAN eTGX dengan jarak perjalanan sejauh 800 kilometer sebagai sebahagian daripada pelan elektrifikasi untuk mengurangkan kos operasi.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAN Truck & Bus (M) Sdn. Bhd., Andrew O’Brooks berkata pihaknya komited membantu DHAS mengoperasikan trak penggerak utama itu dalam tempoh masa yang singkat.

“Ini jelas menunjukkan komitmen kami untuk memudahkan perniagaan DHAS. Trak MAN Euro V kami telah terbukti berdaya tahan dan boleh dipercayai sejak mula beroperasi dalam keadaan sebenar di Malaysia pada tahun 2021,” katanya. – UTUSAN