PETALING JAYA: Airbus Helicopters menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) bersama pemain utama dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan Malaysia bagi merangsang kerjasama industri dalam teknologi aeroangkasa dan mempertingkatkan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter tentera.
Perjanjian yang ditandatangani di Paris dengan kehadiran Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa lawatan rasmi ke Perancis ini menegaskan komitmen bersama terhadap inovasi dan keselamatan serantau.
Airbus berkata, di bawah perjanjian pertama, Airbus Helicopters dan Gabungan Industri Pertahanan Malaysia atau CDI (M) merancang untuk meneroka peluang industri bersama syarikat-syarikat ahli CDI (M) yang memfokus kepada pembangunan dalam bidang aeroangkasa dan pertahanan.
“MoU ini merupakan yang pertama seumpamanya antara Airbus dan industri pertahanan Malaysia, mewujudkan rangka kerja khusus bagi memacu inovasi, pertumbuhan dan pembangunan helikopter tentera dalam sektor pertahanan tempatan.
“Bagi perjanjian kedua, Airbus Helicopters berhasrat untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan MRO tempatan, Global Turbine Asia (GTA), dalam usaha memperkukuh
keupayaan MRO komponen helikopter di dalam negara.
“Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperkasakan ekosistem pertahanan Malaysia serta mempercepat pertumbuhan industri sejajar dengan rancangan negara untuk memperoleh helikopter baharu bagi angkatan tentera dan agensi kerajaan berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Global Turbine Asia dan Presiden CDI (M), Datuk Nonee Ashirin Mohd. Radzi berkata, pihaknya berhasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan industri utama Eropah, berteraskan hubungan kukuh yang telah lama terjalin antara industri aeroangkasa Malaysia dan peneraju global seperti Airbus.
“Kami komited untuk memperkukuh hubungan ini dan meneroka bidang kerjasama baharu demi memastikan inovasi berterusan, pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan.
“Kerjasama ini menegaskan komitmen jangka panjang Airbus terhadap matlamat Malaysia untuk membangunkan ekosistem pertahanan yang berdaya tahan dan berdikari.
Sementara itu, Ketua Asia-Pasifik, Airbus Helicopters, Vincent Dubrule berkata, dengan memperkukuh pertumbuhan industri tempatan dan memperluas keupayaan MRO, pihaknya sedang mempertingkatkan sektor aeroangkasa dan pertahanan negara, menyokong kemajuan teknologi serta memperkukuh kedaulatan industri,
“Ketika Malaysia mempertimbangkan pemerolehan helikopter untuk misi penting seperti sokongan taktikal, operasi mencari dan menyelamat tempur serta peperangan anti-permukaan, kerjasama ini bertujuan memperkukuh kepakaran tempatan, mempromosikan pemindahan teknologi dan membina keupayaan kendiri.
“Airbus melihat CDI (M) dan GTA sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan sejajar dengan keutamaan ini,” katanya. – UTUSAN