EON, Agytek bangun platform digital SCRM tempatan

Perniagaan

PETALING JAYA: Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM), memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Agytek Digital Sdn. Bhd. (Agytek Digital) bagi membangunkan platform Pengurusan Perhubungan Pelanggan Jualan (SCRM) berasaskan awan.

Kerjasama itu bertujuan untuk pembangunan platform SCRM yang disesuaikan bagi meningkatkan penglibatan dan perhidmatan pelanggan, serta memenuhi keperluan pengguna automotif di Malaysia dan serantau.

Majlis menandatangani turut disaksikan oleh  Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Perancangan Korporat dan Strategi serta Hartanah, DRB-HICOM, Azri Zaharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Group Sdn. Bhd. Mohamad Helmi Harith. 

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah strategik bagi meningkatkan pengalaman pelanggan serta memperkukuh keupayaan digital EON.

“Kerjasama ini merupakan langkah strategik EON dalam meningkatkan pengalaman pelanggan serta membina keupayaan digital yang menepati keperluan tempatan. 

“Bersama Agytek, kami membangunkan satu penyelesaian yang akan diintegrasikan secara menyeluruh merentas perniagaan runcit, kenderaan armada dan penyewaan kami,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, walaupun platform itu direka secara global, ia akan disesuaikan sepenuhnya mengikut pasaran Malaysia bagi memenuhi keperluan perniagaan dan pengguna tempatan melalui kerjasama di antara dua syarikat itu.

“Matlamat bersama adalah untuk meletakkan penyelesaian ini sebagai amalan terbaik serantau dalam runcit automotif berasaskan digital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Agytek Digital, David Di Xiong berkata, pihaknya yakin platform SCRM yang dibangunkan mereka akan menjadi penyelesaian masalah kepada perniagaan.

“Kami percaya teknologi hanya bermakna jika ia menyelesaikan masalah sebenar perniagaan. Itulah sebabnya platform SCRM, dibina secara khusus dan bukan generik,” katanya. 

Kerjasama itu turut menyokong agenda pendigitalan DRB-HICOM Berhad secara menyeluruh, yang bertujuan memperkasa transformasi ekosistem automotif Malaysia dalam menghadapi masa depan dan lebih berfokuskan pelanggan. – UTUSAN