Tiada ejen, komisen dalam perolehan aset pertahanan

Politik

PETALING JAYA: Urusan pembelian aset dan sistem pertahanan negara dilaksanakan menerusi perolehan kerajaan kepada kerajaan (G2G) tanpa melibatkan ejen atau komisen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebahagian daripada pendekatan baharu yang diambil kerajaan bagi memastikan ketelusan.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan secara rasmi dengan Perancis dan Itali baru-baru ini.

“Perkara ini belum pernah berlaku sebelum ini kerana pembelian senjata lazimnya merupakan antara sektor yang paling terdedah kepada amalan rasuah, tempat di mana wang rakyat sering diseleweng.

“Jadi apa prinsip asas kita? Jalankan urusan secara terus antara kerajaan dan elakkan kaedah lama yang membuka ruang kepada pengambilan komisen atau penyelewengan,” katanya dalam temu bual bersama saluran berita France 24 yang disiarkan menerusi platform dalam talian, semalam.

Dalam program berjudul Tête-à-tête kendalian Marc Perelman itu, Perdana Menteri turut ditanya mengenai dakwaan beliau meneruskan perseteruan politik dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan keluarganya melalui siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anwar berkata, siasatan berkaitan rasuah dijalankan secara telus membabitkan pelbagai pemimpin termasuk yang berada dalam gabungan kerajaan serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

“Bukan soal sama ada seseorang itu bekas Menteri Kewangan atau bekas Perdana Menteri. Itu tidak penting. Persoalannya, dari mana datangnya berbilion ringgit ini? Anak-anak mereka sendiri mengisytiharkan di bawah sumpah bahawa mereka memiliki lebih daripada RM1 bilion.

“Saya anggap menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan budaya rasuah seperti ini dihentikan. Selain itu, sebarang wang yang dicuri daripada rakyat mesti dikembalikan kerana kita mahu memperbaiki sekolah-sekolah dan membantu golongan miskin,” katanya.

Anwar ketika ini berada di Rio de Janeiro, Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS selepas mengadakan lawatan kerja ke Rom, Itali dan Paris, Perancis bermula 1 Julai lalu. – UTUSAN