MARAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti itu sambil menolak sebarang polemik dalaman yang boleh mengganggu gugat perjuangan utama Bersatu untuk membela nasib rakyat.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang, Datuk Jasri Jamaludin berkata, Muhyiddin merupakan seorang negarawan berjiwa besar yang telah membuktikan kepimpinan berprinsip dan istiqamah dalam mengemudi Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial negara.
Katanya, pemilihan semula Muhyiddin sebagai Presiden tanpa dicabar dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu pada 30 November tahun lalu membuktikan keyakinan akar umbi terhadap keteguhan prinsip dan kebijaksanaan bekas Perdana Menteri tersebut.
“Bersatu bukan sekadar sebuah parti politik – ia adalah wadah perjuangan rakyat. Kita tidak boleh dan tidak akan sesekali terperangkap dalam polemik dalaman yang melalaikan.
“Kita tidak punya masa untuk berpaling daripada agenda besar rakyat. Apa yang lebih penting kini ialah menyusun barisan, mengukuhkan Pusat Daerah Mengundi (PDM), menggerakkan bahagian, serta memperluas gerakan latihan dan tarbiah kepada ahli dan anggota baharu.
“Di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin, kita perlu turun ke lapangan, mendengar denyut nadi rakyat, menyantuni warga desa dan kota, serta menyelesaikan isu-isu kehidupan rakyat marhaen yang semakin terhimpit – daripada kos sara hidup, peluang kerja, gaji yang adil hinggalah kepada perumahan dan akses pendidikan berkualiti,” katanya di sini hari ini.
Jasri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, Bersatu harus menjadi suara tulen rakyat yang tidak tunduk kepada politik elit dan apa yang lebih penting tidak lupa kepada janji perjuangan.
Jelasnya, pasti itu harus kembali memperkukuh akar umbi, menyemai budaya berparti yang sihat, mendidik pemimpin pelapis yang amanah dan menyatukan langkah bersama rakan gabungan dalam PN iaitu, Pas, Parti Gerakan dan lain-lain demi memastikan kesepaduan politik blok pembangkang terus utuh dan diyakini rakyat.
“Kami percaya bahawa dengan gabungan pengalaman Tan Sri Muhyiddin, semangat juang para pemimpin kanan parti serta kepimpinan muda dan akar umbi yang cekal, Bersatu uakan tampil sebagai parti nasional abad ke-21 yang unggul dan inklusif, menjangkaui kaum, agama dan wilayah dan menawarkan solusi tuntas untuk Malaysia yang lebih adil, sejahtera dan bermaruah.
“Inilah masanya untuk kita memperkukuh kepercayaan rakyat. Inilah masanya untuk Bersatu dan PN tampil sebagai harapan baharu, yang tidak hanya tahu bercakap soal perubahan tetapi membawanya dengan konsisten, tenang dan berprinsip,” katanya.
Beliau menyeru seluruh ahli dan pimpinan daripada cawangan hingga pusat supaya menyatukan tekad bulatkan azam dan buktikan bahawa Bersatu bukan sahaja mampu bangkit semula, tetapi mampu memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang. – UTUSAN