PETALING JAYA: Peruncit perkakas rumah kegemaran rakyat Malaysia, Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad (MR D.I.Y) meraikan ulang tahun yang ke-20 dengan mengadakan konsert ulang tahun mega di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 11 Julai ini.
Konsert itu adalah sebahagian daripada inisiatif kumpulan MR D.I.Y. bagi menghargai pekerja, pelanggan setia dan rakan kongsi atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka sepanjang dua dekad yang lalu.
Konsert ulang tahun itu menampilkan barisan legenda muzik Malaysia yang terkenal, termasuk vokalis Shila Amzah dan Jaclyn Victor, ikon rock Amy Search, Awie dan Ella, artis pop mandarin, Penny Tai, bintang yang sedang meningkat naik Jeryl Lee dan trio pop dinamik, 3P.
Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, selama 20 tahun, pihaknya bersama Malaysia dan rakyat Malaysia, meraikan kejayaan, menghadapi cabaran dan berkembang bersama.
“Kami berhasrat untuk membuat perubahan sebenar dengan membawa nilai kepada komuniti, memperkasakan pekerja kami dan membuat pilihan yang lebih baik demi masa depan yang lebih hijau.
“Sempena ulang tahun ke-20 ini, kami bukan sahaja mengimbas perjalanan kami, tetapi juga bersemangat untuk melangkah demi masa depan yang lebih cerah.
“Konsert ini merupakan cara kami menghargai dan berterima kasih kepada para pekerja, pelanggan dan rakan kongsi kami kerana berkembang bersama kami,” katanya dalam kenyataan.
Konsert tersebut menampilkan pertunjukan cahaya laser, bunga api, persembahan secara langsung, makanan dan minuman daripada jenama popular, sesi bergambar di ‘photo booth’ dan permainan interaktif.
Pada konsert itu, pengunjung berpeluang memenangi 20 unit jongkong emas lima gram dalam sesi cabutan bertuah istimewa.
Tiket konsert percuma diberikan kepada pelanggan yang berminat, yang membeli-belah di cawangan-cawangan MR D.I.Y. pada 31 Mei dan 14 hingga 15 Jun lalu.
MR D.I.Y bermula pada 2005 sebagai sebuah kedai perkakasan kecil di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, ia telah berkembang menjadi sebuah ikon runcit negara dan menjadi destinasi sehenti yang mesti dikunjungi untuk keperluan rumah di setiap negeri.
Kini, MR D.I.Y. beroperasi di lebih 1,400 lokasi di seluruh negara, dari bandar utama hingga ke pekan kecil, dan dipercayai pelanggan kerana janji ‘Always Low Prices’ nya.
Kumpulan MR D.I.Y. merangkumi beberapa jenama termasuk MR D.I.Y., MR D.I.Y. Express, MR D.I.Y. PLUS, MR. TOY, MR. DOLLAR, dan EMTOP.
Bermula di Malaysia, jenama MR D.I.Y. berkembang ke 14 buah negara dengan lebih 5,000 cawangan di seluruh Thailand, Brunei, Indonesia, Singapura, Filipina, Kemboja, India, Türkiye, Sepanyol, Vietnam, Bangladesh, Poland dan Afrika Selatan. – UTUSAN