PETALING JAYA: Tourism Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengadakan sesi libat urus bersama wakil industri perhotelan Sarawak dalam usaha memperkukuh ketepatan data dan penyampaian maklumat menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Sesi tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar dan menghimpunkan wakil dari sektor pelancongan dan hospitaliti Sarawak.
Ini termasuk Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Sarawak, Persatuan Hotel Bajet & Perniagaan Malaysia (MyBHA) Cawangan Sarawak, Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Sarawak.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar berkata, sesi libat urus ini merupakan persediaan negara menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Data yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi amat penting dalam menyokong agenda pelancongan negara.
“Tinjauan hotel memainkan peranan penting bukan sahaja untuk Tourism Malaysia, tetapi juga sebagai rujukan utama kepada pembuat dasar, pelabur dan pihak berkepentingan industri,” katanya dalam kenyataan.
Tourism Malaysia berkata, program tersebut bertujuan sebagai platform bagi membentangkan dapatan terkini Tinjauan Penginapan Berbayar Suku Tahunan, yang merangkumi metrik prestasi utama seperti Purata Kadar Penghunian (AOR), Purata Kadar Bilik (ARR) serta ketibaan tetamu domestik dan antarabangsa.
“Selain itu, sesi ini turut merangkumi pengisian semula maklumat tentang prosedur pelaporan tinjauan bagi memastikan penyerahan data yang konsisten dan tepat.
“Program ini turut membantu pegawai hotel baru dalam memahami peranan mereka, sekali gus memberi peluang kepada wakil industri untuk berkongsi maklum balas, cabaran dan cadangan bagi mempertingkatkan pelaksanaan dan keberkesanan tinjauan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Tourism Malaysia turut menyampaikan sijil penghargaan serta bahan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 kepada pengusaha hotel yang menunjukkan komitmen dan konsistensi tinggi dalam penyerahan data.
“Pengiktirafan ini mencerminkan penghargaan agensi terhadap sokongan berterusan mereka dalam memperkukuh data pelancongan negara,” katanya.
Terdahulu, pada tahun 2024, negara telah menerima kehadiran 38 juta pelawat antarabangsa peningkatan 31.1 peratus berbanding tahun 2023 dan 8.3 peratus lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik pada tahun 2019.
Momentum positif ini berterusan sehingga tahun 2025, dengan ketibaan 13.4 juta pelawat direkodkan dari Januari hingga April, mewakili peningkatan 21 peratus tahun ke tahun. – UTUSAN