Sabalenka sindir sikap Anisimova selepas tersingkir

Sukan

LONDON: Aryna Sabalenka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap lawannya, Amanda Anisimova selepas tersingkir mengejut dalam separuh akhir Wimbledon, awal pagi tadi.

Pemain No. 1 dunia itu tewas 6-4, 4-6, 6-4 kepada pilihan ke-13 dari Amerika Syarikat (AS) dan kecewa dengan beberapa aksi lawannya yang dianggap tidak menghormati etika permainan.

Sabalenka mendakwa Anisimova kemudian mengejeknya bahawa itu memang gaya permainannya dan membakar semangatnya untuk terus bangkit.

Menurut juara tiga kali Grand Slam itu, rasa marah itu menjadi pencetus kebangkitan dalam set kedua, namun mengakui dia sepatutnya kekal dalam mod ‘menyala’ pada set penentuan.

“Saya masih kejar bola tapi dia dah mula meraikan. Itu terlalu awal dan agak menyakitkan hati.

“Itu memang gaya dia (Anisimova) dan kenyataan itu benar-benar membakar semangat saya untuk bangkit,” kata Sabalenka.

Selain itu, Sabalenka turut mempertikaikan tindakan Anisimova yang tidak memohon maaf selepas mendapat mata hasil pantulan tali jaring, satu kebiasaan yang dijunjung dalam sukan tenis.

“Saya tengok dia dan saya macam, ‘tak nak minta maaf ke?’ Tapi mungkin dia terlalu terdesak nak menang,” sindir pemain Belarus itu.

Ironinya, Sabalenka membuka sidang medianya dengan berkata dia tidak akan mengulangi episod ‘drama’ seperti di Roland Garros bulan lalu selepas tewas kepada Coco Gauff.

“Kalau kamu semua tunggu saya meletup macam di Paris, boleh keluar sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Sabalenka tetap memberi pujian kepada Anisimova atas keberanian dan prestasi mantap yang ditampilkan di saat-saat penting perlawanan.

“Saya cuba kawal emosi kali ini. Saya tak nak hadap kebencian orang lagi. Setiap kali saya hampir hilang kawalan, saya ingatkan diri. Itu bukan pilihan,” katanya.

Namun sebelum meninggalkan bilik media, Sabalenka sempat melontarkan sindiran akhir.

“Ha, ha, ha… kamu semua tak dapat apa-apa,” katanya sambil menjelirkan lidah. – AGENSI