HRD Corp lancar dokumen IndSF bagi industri semikonduktor

Perniagaan

PETALING JAYA: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melancarkan dokumen Rangka Kerja Kemahiran Industri (IndSF) bagi industri semikonduktor, yang merupakan dokumen pertama seumpamanya di Malaysia.

Ketua Pegawai Strategi HRD Corp, Dr. Rony Ambrose Gobilee berkata, pelancaran dokumen berkenaan mencerminkan komitmen HRD Corp dalam menyokong NSS, khususnya dalam memperkukuh tenaga kerja kejuruteraan dan teknikal negara.

“Pelancaran dokumen ini bukan sekadar penerbitan biasa, sebaliknya mencerminkan iltizam HRD Corp dalam memastikan kesiapsiagaan tenaga kerja negara melalui pelaburan latihan berpandukan keperluan sebenar industri,” katanya dalam kenyataan.

Dokumen strategik tersebut dibangunkan hasil kerjasama dengan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) serta pemain utama industri, bertujuan mewujudkan laluan kerjaya tersusun dan menjadi penanda aras latihan untuk memperkukuh tenaga kerja tempatan dalam sektor semikonduktor.

Menyedari peningkatan permintaan global terhadap semikonduktor, dokumen itu dirangka bagi menyokong usaha Malaysia menjadi hab bakat utama dalam sektor berimpak tinggi tersebut, selaras dengan aspirasi Strategi Semikonduktor Negara (NSS).

Jelas Rony, bakat merupakan pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai hab utama dalam rantaian nilai global semikonduktor.

“Pembangunan dokumen IndSF turut menekankan penglibatan menyeluruh pihak industri bagi memastikan kandungan rangka kerja tersebut menepati keperluan sebenar pasaran buruh.

“Dalam masa sama, kerjasama strategik dengan MSIA menjadi contoh terbaik sinergi awam-swasta dalam merangka strategi bakat secara lebih terarah dan mampan.

“HRD Corp turut menggalakkan penyedia latihan untuk menjadikan IndSF sebagai rujukan utama dalam merangka program latihan berkaitan semikonduktor.

“Selain itu, jurutera serta profesional teknikal sedia ada dan bakal memasuki industri disaran menggunakan dokumen tersebut sebagai panduan kerjaya dan peningkatan kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan HRD Corp dalam membangunkan dokumen IndSF bagi industri semikonduktor.

“Rangka kerja ini menjadi jambatan antara keperluan industri dan pembangunan bakat, sekaligus memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia memenuhi tuntutan teknologi dalam ekosistem semikonduktor.

“Ia juga merupakan komponen penting dalam merealisasikan NSS serta melonjakkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global semikonduktor,” katanya.

IndSF bagi industri semikonduktor memberi fokus kepada dua bidang utama iaitu teknikal dan kejuruteraan, meliputi pemetaan kerjaya dari peringkat permulaan sehingga sembilan domain kejuruteraan kritikal.-UTUSAN