PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengukuhkan kerjasama strategik bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) demi pembangunan bola sepak negara.
Kerjasama ini melibatkan aktiviti pemasaran serta memacu inisiatif Kad Debit-i Jenama Bersama Team Harimau, yang kini telah mencatat lebih 2 juta pengguna di seluruh negara.
Majlis menandatangani perjanjian di Menara Bank Islam itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram, dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
“Kami percaya bola sepak mampu menyatukan rakyat Malaysia. Melalui kerjasama ini, kami ingin menjadi sebahagian daripada semangat itu. Ia bukan sekadar penajaan, tetapi satu tanggungjawab sosial yang kami pikul dengan penuh rasa bangga,” kata Mizan.
Kerjasama ini menyaksikan pelbagai aktiviti pengaktifan dirancang termasuk ruang khas di hari perlawanan, kandungan media sosial, penjenamaan bersama serta pertandingan untuk penyokong Harimau Malaya dengan objektif mendekatkan peminat kepada pasukan kesayangan mereka.
Kad Debit-i Team Harimau turut memberi peluang kepada penyokong memiliki kad edisi khas sambil menikmati pelbagai kemudahan, termasuk pengeluaran ATM dan pembayaran elektronik, sama ada di dalam atau luar negara.
Lebih bermakna, bagi setiap yuran pengeluaran, tahunan atau penggantian kad, RM2 akan disalurkan terus kepada FAM, sebagai dana pembangunan untuk bakat muda dan program akar umbi bola sepak negara.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menyifatkan kerjasama ini sebagai simbol perkongsian nilai dan aspirasi, bukan sekadar komersial semata-mata.
“Lebih 12 tahun bersama, Bank Islam bukan hanya rakan penaja, tetapi rakan progresif yang turut menyumbang kepada pengukuhan ekosistem bola sepak negara.
“Ini memberi inspirasi buat kami di FAM untuk terus bekerja keras demi melahirkan lebih ramai pemain dan jurulatih bertaraf dunia,” jelasnya.-UTUSAN
KAPSYEN: MIZAN (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Noor Azman selepas menandatangani perjanjian antara Bank Islam dan FAM, semalam.-IHSAN FAM