Malaysia terajui pasaran IPO Asia Tenggara bagi separuh pertama 2025 

Perniagaan

PETALING JAYA: Malaysia muncul sebagai peneraju pasaran penyenaraian awam permulaan (IPO) di Asia Tenggara bagi separuh pertama 2025, menyumbang sebanyak 66 peratus atau AS$940 juta daripada jumlah keseluruhan dana yang dikumpul di rantau ini, menurut laporan terkini Southeast Asia Mid-Year IPO Snapshot 2025 yang diterbitkan oleh Deloitte.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Malaysia merekodkan 32 IPO, peningkatan kira-kira 48 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Menurut laporan itu, Malaysia mencatatkan lonjakan 109 peratus dalam jumlah dana yang dikumpul melalui IPO, manakala modal pasaran keseluruhan meningkat sebanyak 165 peratus, menandakan keyakinan pelabur yang kukuh terhadap prospek pasaran ekuiti tempatan.

“Antara penyenaraian utama yang menyerlah termasuk Eco-Shop Marketing Berhad, sebuah jenama runcit tempatan yang mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan kenaikan 6.19 peratus pada hari pertama dagangan. 

“Sementara itu, penyenaraian terbesar di rantau ini turut berasal dari Malaysia, membabitkan sebuah rangkaian kedai barangan mampu milik yang berjaya meraih AS$230 juta.

“Secara keseluruhan, pasaran IPO Asia Tenggara merekodkan 53 penyenaraian dengan jumlah dana melebihi AS$1.4 bilion dan modal pasaran mencecah AS$7.7 bilion, berbanding 67 IPO dengan dana kurang daripada AS$1.4 bilion dan modal pasaran AS$5.8 bilion dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam laporan Southeast Asia Mid-Year IPO Snapshot 2025.

Bagaimanapun, Deloitte turut memberi amaran bahawa ketegangan geopolitik global serta dasar tarif perdagangan Amerika Syarikat baru-baru ini berpotensi memberi kesan terhadap sentimen pelabur dan menyebabkan syarikat mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Rakan kongsi sokongan Transaksi Perakaunan di Deloitte Malaysia,  Wong Kar Choon berkata, pasaran IPO Malaysia kekal optimistik untuk baki tahun ini, dengan Bursa Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran 60 penyenaraian bagi tahun 2025. 

“Namun, cabaran global mungkin membawa kepada penangguhan rancangan IPO, khususnya bagi syarikat berorientasikan eksport,” katanya. 

Sementara itu, menurut laporan Deloitte, sektor pengguna kekal sebagai industri utama dalam pasaran IPO Asia Tenggara bagi separuh pertama tahun 2025, menyumbang sebanyak 43 peratus atau AS$613 juta daripada jumlah keseluruhan dana yang dikumpul di rantau ini, “Sektor hartanah pula berada di kedudukan kedua, dengan jumlah kutipan kira-kira AS$284 juta. 

“Daripada empat penyenaraian utama dalam sektor ini, tiga disenaraikan dalam senarai 10 IPO terbaik Asia Tenggara, iaitu dua dari Indonesia, satu dari Malaysia dan satu dari Thailand,” katanya. 

Sebanyak 10 tawaran awam permulaan (IPO) terbesar telah menyumbang AS$928 juta, iaitu 66 peratus daripada jumlah keseluruhan dana yang dikumpul pada separuh pertama 2025, dengan sektor pengguna dan hartanah muncul sebagai penyumbang utama dalam senarai. 

Mengikut data, Eco-Shop Marketing Berhad muncul sebagai IPO terbesar dengan jumlah dana dikumpul sebanyak AS$230 juta, diikuti syarikat Indonesia, PT Bangun Kosambi Sukses Tbk (AS$141 juta) dan Paradigm Real Estate Investment  (AS$132 juta), PT Yupi Indo Jelly Gum Tbk (AS$124 juta). 

Sementara itu, Cuckoo International (MAL) Berhad berjaya meraih berada ditangga keempat dengan jumlah dana sebanyak (AS$93 juta), Lim Seong Hai Capital Berhad  (AS$49 juta), Oriental Kopi Holdings Berhad (AS$42 juta), manakala Pantech Global Berhad mengumpul AS$40 juta 

Dua lagi syarikat dari Indonesia, PT Medela Potentia Tbk dan PT Raharja Energi Cepu Tbk masing-masing memperoleh AS$39 juta dan AS$38 juta, dengan menduduki tangga kesembilan dan kesepuluh.- UTUSAN