PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki bawah 18 (B-18) negara, Mohd Sufian Mohamad menggesa anak-anak buahnya untuk bangkit dan menamatkan kempen Piala Asia B-18 2025 dengan penuh bergaya apabila menentang Bangladesh dalam perebutan tempat ketiga hari ini.
Mengulas mengenai lawan dalam penentuan tempat ketiga, Sufian menjelaskan Bangladesh bukan lawan yang boleh dipandang ringan, malah menyifatkan pasukan itu sebagai salah satu pasukan yang paling konsisten dalam kejohanan ini.
“Pasukan Bangladesh nampak sangat matang dan seperti telah lama bermain bersama. Jadi kita perlu berwaspada dan jangan sesekali ambil mudah.
“Saya harap kita tidak patah semangat. Kita masih ada peluang untuk naik podium dan menutup kempen dengan pencapaian yang membanggakan,” katanya.
Sebelum ini, skuad hoki muda negara terpaksa akur apabila terkandas di pentas separuh akhir selepas tewas 3-4 menerusi penentuan penalti kepada Pakistan selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam masa sebenar.
Namun, Sufian tetap memuji semangat juang tinggi yang ditampilkan oleh para pemain, khususnya apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan 0-2 pada awal permainan.
“Mungkin tiada rezeki kita. Tapi secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan para pemain. Mereka menunjukkan komitmen dan semangat juang yang tinggi.
“Walaupun ketinggalan dua gol, mereka tidak pernah berputus asa. Malah berjaya bangkit untuk mendahului 3-2 sebelum Pakistan menyamakan kedudukan dan memaksa perlawanan ditentukan menerusi shoot-out,” katanya.
Beliau turut menyifatkan persembahan anak buahnya sebagai antara yang terbaik setakat ini, hasil pelaksanaan strategi dan pelan permainan yang kemas.
“Pemain-pemain muda ini sangat cepat belajar dan menilai strategi. Saya percaya mereka akan kembali lebih kuat untuk perlawanan terakhir nanti,” ujarnya.-UTUSAN