Isu dalaman UMNO perlu selesai sebelum musim pilihan raya

Politik

KUBANG PASU: UMNO kini berada dalam persediaan di ambang pilihan raya yang menuntut seluruh jentera dan ahli parti bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara paling utama adalah semua pihak terlibat harus memperkukuh barisan parti termasuk melupakan semua perselisihan faham yang berlaku sebelum ini. 

“Paling penting adalah kita jangan hilang fokus. UMNO kena kembali memperkuatkan saf. Segala titik bengik (hal tidak penting), isu-isu dalaman parti mesti diselesaikan sebelum pilihan raya. 

“Fokus kita adalah pilihan raya dan memenangkan parti kerana pemilihan parti ini tidak akan berlaku sebelum pilihan raya. Jadi, penting untuk setiap ahli, pimpinan akar umbi bersedia.  Bukan sahaja dari segi mental tetapi gerak kerja,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Kubang Pasu di sini hari ini. 

Tambah beliau, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka berlaku pada bila-bila masa, diikuti oleh pilihan raya negeri di Melaka, Johor dan akhirnya pilihan raya umum (PRU). 

“Ambang pilihan raya ini bermula hujung tahun ini dan berlanjutan ke tahun-tahun mendatang. Kita tidak mahu menang sorak kampung tergadai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, agensi itu memantau rapat perkembangan akademik dan kebajikan Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 12, yang kehilangan ibu bapa dalam tragedi lemas di Sungai Korok, Jitra Sabtu lepas.

Beliau berkata, pemantauan itu akan dilakukan secara berterusan merangkumi aspek pembelajaran, sokongan psikologi dan persediaan menghadapi peperiksaan penting termasuk ujian kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) nanti. 

“Kita mengambilnya sebagai anak angkat Mara untuk memastikan pembelajarannya yang masih di darjah enam ini, supaya dia boleh mengekalkan prestasi kecemerlangannya dan kita akan bantu beri tuisyen-tuisyen khas kepada adik Qisya. 

“Mudah-mudahan kita dapat bantu dia untuk masuk dalam ujian kemasukan ke MRSM. Kita akan pastikan dia dapat memenuhi cita-citanya ke MRSM,” katanya.

Katanya, Mara Kedah turut diarahkan supaya memantau sepenuhnya prestasi kanak-kanak itu selain berjumpa dengan pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak Baru supaya prestasi pembelajaran Putri Qisya tidak terganggu.  

“Kita harap dia jangan sesekali terkesan dengan tragedi menimpa keluarganya. Memang bukan mudah untuk anak sekecil itu menghadapi musibah ini sebab itulah bila berjumpa dengan Putri Qisya saya mintanya buat yang terbaik. Dia memikirkan soal hasrat dan juga wasiat ibu ayahnya. Ibunya mahu anaknya betul-betul masuk ke MRSM,” katanya. – UTUSAN