JELI: Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi membincangkan mengenai perkembangan isu semasa dan penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pertemuan itu merupakan sebahagian daripada siri pertemuan berkala yang sering diadakan di antara kepimpinan kerajaan dan komponen parti.
Menurutnya, pertemuan serupa turut diadakan bersama pimpinan komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan termasuk daripada Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Pertemuan Perdana Menteri bersama Ahli Parlimen BN serta Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO malam tadi adalah pertemuan yang sering kali diadakan bagi mengikuti perkembangan semasa memandangkan BN adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan.
“Pertemuan ini bukan bersifat khusus, sebaliknya membincangkan pelbagai perkara merangkumi dasar kerajaan, isu semasa serta cadangan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen BN,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli 2025 di Kompleks UMNO Bahagian Jeli, Bukit Nangka di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah dipercayai milik menteri dan ahli parlimen daripada BN dilihat mulai memasuki perkarangan kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya malam tadi.
Dilihat mula memasuki bangunan itu adalah kenderaan dinaiki Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang diiringi polis pengiring tentera sekitar pukul 7.20 malam.
Selepas itu, kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat telah memasuki perkarangan Seri Perdana pada jam 7.40 malam.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, kementerian terus memantau lima pelajar dari Malaysia yang masih berada di Iran untuk meneruskan pengajian.
Katanya, kerajaan juga telah memberi ruang dan menyatakan hasrat untuk membantu mereka sekiranya mahu pulang ke tanah air.
Menurutnya, lima pelajar berkenaan sudah berkeluarga dan mereka memilih untuk menghabiskan pengajian mereka.
“Ada pelajar yang enggan pulang sebab ingin meneruskan pengajian dan pihak kerajaan telah beri ruang serta menyatakan hasrat untuk bantu mereka jika mahu pulang.
“Bagaimanapun, kita juga akan terus sentiasa memantau walau dimana sahaja mereka berada demi keselamatan,” katanya. – UTUSAN