PUTRAJAYA: Malaysia meletakkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya tujuh pingat tanpa mengira warna pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 yang dijadual berlangsung di Rhein Ruhr, Jerman dari 16 hingga 27 Julai ini.
Ketua kontinjen negara, Datuk Mohd Hafiz Yusoff berkata, sasaran itu realistik berdasarkan situasi semasa termasuk perubahan jenis acara yang dipertandingkan berbanding edisi terdahulu di Chengdu, China.
Beliau berkata, sasaran itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk prestasi semasa atlet serta potensi sebenar kontinjen negara di pentas dunia.
“Kita membuat penilaian secara menyeluruh terhadap kekuatan atlet selain mengambil kira cabaran yang bakal ditempuhi di Jerman.
“Berdasarkan analisis itu, kita percaya tujuh pingat adalah sasaran yang munasabah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Jalur Gemilang dan Insentif Atlet Cemerlang AUG 2024 di sini malam tadi.
Katanya, kontinjen negara akan menghantar seramai 93 wakil termasuk 64 atlet dan 30 pegawai bagi menyertai enam jenis sukan iaitu olahraga, badminton, taekwondo, memanah, gimnastik artistik dan renang.
Terdahulu, majlis penyerahan Jalur Gemilang ke WUG 2025 disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Pada majlis sama, jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi diumumkan sebagai individu yang akan membawa Jalur Gemilang selaku pembawa bendera rasmi kontinjen.
Sementara itu, Dr Zambry dalam ucapannya berkata, beliau menggesa atlet universiti agar memainkan peranan sebagai duta kecil negara apabila mewakili Malaysia di kejohanan sukan antarabangsa.
Menurutnya, kejayaan atlet bukan sekadar diukur melalui pingat semata-mata.
“Saudara-saudari bukan hanya membawa panji universiti, tetapi juga imej dan nama baik negara. Interaksi anda dengan atlet dari seluruh dunia akan membentuk persepsi terhadap Malaysia,” katanya.
Katanya, beliau menyifatkan atlet universiti sebagai kelompok istimewa kerana mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan, malah turut memiliki pemikiran kritis dan intelektual yang tinggi.
Pada edisi 2023 di Chengdu, kontinjen negara mencipta sejarah apabila meraih satu pingat emas, satu perak dan lima gangsa sekali gus pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaannya di temasya itu.
WUG 2025 dijangka menyaksikan penyertaan lebih 10,000 atlet dan pegawai dari lebih 150 negara dengan mempertandingkan lebih 15 jenis sukan.-UTUSAN