Kena berani umum awal sasaran Sukan SEA 2025

Sukan

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) disaran agar lebih berani menetapkan sasaran awal kutipan pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2025 bagi memberi hala tuju jelas kepada kontinjen negara.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, berkata, pengumuman sasaran sepatutnya dibuat lebih awal bagi memberi panduan jelas kepada atlet tentang hala tuju dan pencapaian yang disasarkan kontinjen negara.

“Sasaran emas pun kita umumkan beberapa hari sebelum temasya bermula. Sepatutnya kita umum lebih awal supaya atlet tahu apa yang mereka kena capai. Ini bukan soal tekanan semata-mata, tapi soal hala tuju dan matlamat negara,” katanya kepada Utusan Malaysia

Pekan juga menegaskan sudah tiba masanya pendekatan ‘sasaran pukal’ atau jumlah keseluruhan pingat ditinggalkan kerana ia tidak menggambarkan kedudukan sebenar sesebuah negara dalam carta keseluruhan kejohanan.

Katanya, walaupun pingat perak dan gangsa tidak harus diketepikan, penanda aras yang lebih realistik perlu diberikan berdasarkan jumlah emas yang dimenangi selari dengan kaedah pengiraan yang digunakan di peringkat antarabangsa.

“Kalau kita menang banyak pingat perak atau gangsa pun, tetapi emas sedikit, kita tidak akan diisytiharkan sebagai juara keseluruhan. Sama juga macam pelajar di sekolah pelajar yang dapat 10A diletakkan di atas, bukan yang dapat 2A dan 10B.

“Jadi, kita perlu mula mengukur pencapaian sebenar atlet dengan sasaran emas yang jelas,” katanya.

Tambah beliau, sikap segelintir pihak yang enggan menetapkan sasaran emas kononnya untuk mengelakkan tekanan terhadap atlet tidak seharusnya dijadikan alasan, apatah lagi perbelanjaan yang digunakan dalam persiapan kontinjen adalah daripada wang rakyat.

“Kenapa perlu takut dengan tekanan? Ini bukan soal tekanan semata-mata, ini soal tanggungjawab dan perancangan.

“Atlet perlu tahu sasaran mereka supaya mereka lebih fokus. Kalau di Sukan SEA pun tak boleh capai emas, macam mana nak letak harapan di Sukan Asia atau Sukan Olimpik?” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia(MOM), Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, setakat ini sasaran pingat untuk temasya sukan SEA 2025 di Thailand masih belum diputuskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Hal ini belum diputuskan oleh menteri, setakat ini tiada apa-apa perbincangan. Masih awal rasanya sebab Sukan SEA dalam bulan Disember,” katanya.-UTUSAN