Sivaneshwaran cipta kejutan, Score Marathon AIA Vitality 2025 cipta rekod baharu

Sukan

PUTRAJAYA: Pelari jarak jauh kebangsaan, G. Sivaneshwaran, mencuri tumpuan apabila mengejutkan semua pihak dengan menjuarai acara lelaki Score Marathon AIA Vitality 2025, yang berlangsung di Putrajaya semalam dalam penampilan sulungnya di pentas maraton.

Pertama kali menyertai perlumbaan sejauh 42 kilometer (km), Sivaneshwaran tampil penuh bertenaga, terutama pada kilometer terakhir yang menjadi penentu, sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan dua jam 48 minit lapan saat (2:48:08).

Catatan cemerlang itu sudah cukup untuk menewaskan dua pencabar terdekatnya, Lim Kok Leong (2:51:00) dan Muhamad Naqib Haikal Abdul Rahman (2:51:28) yang masing-masing terpaksa akur di tempat kedua dan ketiga.

Pernah meraih gangsa dalam acara 10,000 meter di Sukan Universiti ASEAN 2018, Sivaneshwaran menyifatkan kemenangan ini sebagai hasil pengorbanan dan latihan intensif selama berbulan-bulan.

“Saya hanya mahu melayakkan diri ke satu perlumbaan maraton di Vietnam Disember ini yang disertai atas tajaan kelab saya. Mereka menetapkan syarat untuk saya mencatat masa bawah tiga jam.

“Segala usaha keras saya berbaloi. Saya berlatih tiga hingga empat bulan, melakukan banyak larian jarak jauh dan menghabiskan masa di gimnasium. Ia satu kepuasan yang sukar digambarkan,” katanya.

Turut menyertai SCORE Marathon 2025 adalah bekas Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy
Jamaluddin yang menamatkan larian dalam kategori larian 21km, dengan catatan masa dua jam 44 minit 17 saat.

Dalam saingan wanita, menyaksikan pelari tempatan Lee Siok Chin dinobatkan sebagai pelari wanita terpantas dengan catatan masa 3 jam 17 minit 17 saat (3:17:17).

Beliau mempamerkan larian konsisten sejak awal perlumbaan, terus menguasai saingan dan tidak memberi peluang kepada pesaingnya hingga ke garisan penamat.

Siok Chin meninggalkan wakil Vietnam, Vu Khanh Linh (3:21:54) di tempat kedua, manakala pelari Malaysia, Diana Qistina Redza (3:35:53), melengkapkan podium di tempat ketiga.

Lebih membanggakan, SCORE Marathon 2025 berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat penyertaan tertinggi sejak penganjurannya, dengan seramai 33,000 pelari dari 48 negara mengambil bahagian.

Penganjuran edisi ke-12 ini turut meraih pengiktirafan antarabangsa apabila buat julung kalinya diiktiraf sebagai World Athletics Label Road Race, menjadikannya antara tiga sahaja acara larian di Malaysia yang memiliki status berprestij tersebut.

PESERTA-Peserta melakukan larian di kejohanan Score Marathon AIA Vitality 2025.-IHSAN PENGANJUR

Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan berkata peningkatan penyertaan tahun ini mencerminkan minat yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat terhadap gaya hidup sihat dan aktif.

“Kali ini adalah kali ke-12 SCORE Marathon dianjurkan, dan kami berjaya capai 33,000 peserta. Yang paling ramai sekarang ialah kategori 21KM ini menunjukkan ramai pelari dah ‘level up’. Ramai juga yang berjaya capai masa terbaik (Personal best) tahun ini,” katanya selepas acara SCORE Marathon 2025 di sini.

Menurut beliau, peningkatan sebanyak 36 peratus berbanding 25,000 pelari pada tahun 2024 membuktikan acara itu terus mendapat perhatian dunia.

Jelasnya, sasaran 33,000 peserta yang ditetapkan tahun ini juga berjaya dicapai, dengan kehadiran pelari dari negara seperti Jepun, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan Singapura.

“Tahun lepas kita dapat 25,000 jadi kita letak sasaran 33,000 untuk tahun ni dan kita berjaya capai sasaran. Kita ada peserta dari 48 negara termasuk Jepun, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan Singapura,” ujarnya.

Empat kategori ditawarkan dalam acara ini iaitu 5KM, 10KM, 21KM dan 42KM menjadikannya sesuai untuk semua peringkat pelari, daripada peserta rekreasi hinggalah ke atlet elit.-UTUSAN