MBSB umum penjenamaan semula rasmi MAIB kepada MBSB IB

Perniagaan

PETALING JAYA: Kumpulan MBSB mengumumkan penjenamaan semula rasmi MIDF Amanah Investment Bank Berhad (MAIB) kepada MBSB Investment Bank Berhad (MBSB IB), berkuat kuasa 10 Julai lalu. 

Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi transformasi dan penyatuan jenama yang lebih luas oleh kumpulan MBSB.

Penjenamaan semula ini mencerminkan komitmen Kumpulan MBSB untuk mempersembahkan satu identiti tunggal dan kukuh kepada pelanggan, pengawal selia dan rakan kongsi satu jenama yang melambangkan kekuatan dan kepelbagaian penuh penawaran perkhidmatan oleh kumpulan.

MBSB IB kini menjadi tonggak utama dalam segmen perbankan borong MBSB, bersama-sama dengan perbankan korporat dan institusi, pasaran kewangan, pengurusan aset dan perbankan transaksi. 

“Walaupun kerjasama merentasi segmen pelanggan dan penyampaian penyelesaian sudah pun terjalin, penjenamaan semula ini bertujuan memperkemas sinergi tersebut,” katanya dalam kenyataan. 

MBSB IB akan terus menyumbang kepada pendapatan bukan berasaskan pembiayaan kumpulan melalui kepakarannya dalam bidang penasihatan, penyelidikan, brokeraj ekuiti dan pasaran modal  termasuk penstrukturan sukuk, pengumpulan modal ekuiti dan pembiayaan projek.

Seiring dengan perubahan ini, cabang penyelidikan pelaburan yang dikenali sebagai MIDF Research kini dijenamakan semula sebagai MBSB Research dan akan terus menyediakan maklumat pasaran serta pandangan ekonomi yang relevan untuk menyokong kumpulan serta komuniti pelaburan yang lebih luas.

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Investment Bank, Datuk Seri Nur Julie Gwee Ariff, berkata penjenamaan semula kepada MBSB Investment Bank menandakan permulaan era baharu bagi kumpulan. 

“Kami berbangga membawa nama MBSB dan akan terus membina kekuatan dalam perkhidmatan penasihatan, pasaran ekuiti dan pasaran hutang. 

“Kami teruja untuk terus membuka peluang baharu dan memberikan nilai tambah kepada semua pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN