EON lancar bilik pameran Proton e.MAS baharu di Damansara

Perniagaan

PETALING JAYA: Edaran Otomobil Nasional (EON) Berhad, pengedar automotif pelbagai jenama terkemuka di Malaysia, melancarkan bilik pameran Proton e.MAS di Damansara, dengan menawarkan tawaran menarik untuk pelanggan terawal.

Cawangan Proton e.MAS Damansara terletak bersama Pusat 3S Proton EON Damansara di sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), memperluaskan jejak runcit EON bagi kenderaan elektrik nasional pertama Malaysia. 

Ini merupakan tambahan kepada bilik pameran sulungnya di Kompleks Ibu Pejabat EON di Glenmarie, Shah Alam.

Selaras dengan cawangan utama yang pertama, bilik pameran baharu Proton e.MAS Damansara direka untuk memberikan pengalaman khusus EV  termasuk rundingan yang disesuaikan, sokongan selepas jualan dan pendekatan mobiliti berfokus gaya hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, dengan semakin meningkatnya populariti kenderaan elektrik, lokasi baharu di Damansara menandakan permulaan babak baharu syarikat.

“Ia membawa Proton e.MAS lebih dekat kepada pelanggan dengan akses yang mudah, penghantaran pantas, dan perjalanan pembelian yang peribadi,” katanya dalam kenyataan. 

Sempena pelancaran bilik pameran baharu pada 7 Julai lalu, EON menawarkan pelbagai tawaran menarik kepada pelanggan terawal yang mengunjungi bilik pameran baharu tersebut.

Mulai sekarang hingga 18 Julai 2025, pelanggan yang membuat tempahan untuk Proton e.MAS 7 di bilik pameran Damansara akan menikmati tawaran eksklusif, termasuk pembiayaan kadar faedah rendah istimewa bermula serendah 1.68 peratus setahun.

Selaras dengan kerjasama EON bersama Zurich Liga 7×7 All Stars 2025, iaitu kejohanan bola sepak 7 sebelah, tujuh pelanggan pertama yang menempah Proton e.MAS 7 di cawangan baharu ini dalam tempoh promosi akan menerima tiket premium pitchside bernilai RM399 setiap satu untuk menyaksikan perlawanan bola sepak istimewa pada 19 Julai 2025.

Zurich Liga 7×7 All Stars 2025 merupakan sebuah karnival yang menggabungkan sukan, muzik, makanan dan hiburan, di mana legenda bola sepak antarabangsa akan berentap dalam format perlawanan 7 sebelah yang penuh aksi dan mendebarkan. 

Pelbagai aktiviti interaktif dan pameran jenama juga akan diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 18 dan 19 Julai ini. 

Sebagai rakan mobiliti rasmi, EON menyokong acara ini dengan menyediakan perkhidmatan ulang-alik khas menggunakan Proton e.MAS 7 serta kenderaan utiliti sukan (SUV) untuk pemain-pemain bintang seperti John Terry, Dimitar Berbatov, Ryan Giggs, dan lagenda tempatan Safee Sali.

Acara ini dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung, dengan kehadiran ikon bola sepak tempatan, artis hiburan, serta personaliti gaya hidup tanah air.

Akkbar berkata, EON berbesar hati dapat menghimpunkan masyarakat melalui sukan. 

“Kerjasama kami dengan Zurich Liga 7×7 All Stars 2025 mencerminkan komitmen EON terhadap pelanggan dengan pendekatan berteraskan gaya hidup, sambil menggalakkan penerimaan kenderaan elektrik secara lebih meluas,” katanya. – UTUSAN