KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan bilik bersih dan fasiliti, iCents Group Holdings Berhad membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 29 sen sesaham, lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 24 sen sesaham.
Saham kumpulan itu dibuka premium 21 peratus dengan hampir 58 juta saham bertukar tangan.
Pengarah Urusan iCents Group, Vincent Ong Mum Fei berkata, dana yang diperoleh daripada IPO akan membawa kumpulan ke tahap yang seterusnya.
Katanya, ia akan digunakan bagi pelaburan dalam mesin dan peralatan baharu serta pengambilan lebih ramai jurutera untuk memperkukuh pasukan kami.
“Pelanggan kami terdiri daripada industri semikonduktor dan elektronik, pusat data, sains hayat, farmaseutikal, pembuatan, pemprosesan kelapa sawit serta makanan dan minuman,” katanya semasa sidang media selepas penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia, hari ini.
Syarikat akan memperuntukkan RM27 juta daripada IPO untuk pembelian mesin dan peralatan baharu serta bagi tujuan pengembangan perniagaan, termasuk pembinaan kemudahan baharu di Negeri Sembilan dan pembukaan pejabat baharu di Indonesia, Singapura dan Sarawak.
Sebahagian daripada dana itu juga akan digunakan untuk pembangunan produk dan penawaran baharu, selain aktiviti pemasaran, modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Mengulas mengenai pengembangan syarikat, Vincent berkata, pembinaan kemudahan di Mantin, Negeri Sembilan dijangka siap pada suku pertama tahun depan.
“Selain itu, pejabat baharu di Jakarta, Indonesia dan Kuching, Sarawak dijangka beroperasi tahun hadapan, manakala di Singapura, syarikat sudah pun mempunyai pejabat,” jelasnya.
Ditanya mengenai dasar dividen, Vincent menjelaskan bahawa buat masa ini tiada dasar dividen rasmi kerana keperluan dana yang tinggi untuk perbelanjaan modal (capex).
“Namun begitu, kami merancang untuk memperuntukkan kira-kira 20 hingga 25 peratus keuntungan tahunan sebagai dividen kepada pemegang saham.
“Bagi segmen pelanggan utama ketika ini, kami masih didominasi oleh sektor semikonduktor, namun dijangkakan sektor pusat data akan menyumbang lebih banyak menjelang 2027.
“Selain itu, syarikat turut menyasarkan pertumbuhan hasil dan keuntungan dua digit, dengan sumber utama pertumbuhan datang daripada segmen pengilangan, yang kini menyumbang sekitar 10 hingga 15 peratus dan dijangka akan terus meningkat,” ujarnya. – UTUSAN