Pogacar nyaris maut

Sukan

TOULOUSE: Pelumba berbasikal lebuh raya No.1 dunia, Tadej Pogacar bernasib baik apabila hanya mengalami calar dan lebam ringan selepas terpelanting ke bahu jalan dalam kemalangan ngeri pada peringkat ke-11 Tour de France (TdF) 2025, kelmarin.

Insiden itu berlaku apabila pelumba UAE Team Emirates-XRG itu bergesel dengan Tobias Halland Johannessen dari Uno-X Mobility ketika hanya berbaki empat kilometer perlumbaan.

Pogacar tergolek ke arah pembahagi jalan dalam situasi cemas yang hampir meragut peluangnya memburu gelaran keempat TdF, namun dia terselamat daripada sebarang kecederaan serius.

“Malangnya, ada seorang pelumba yang tiba-tiba beralih dari kiri ke kanan jalan. Saya rasa dia tak nampak saya langsung, dan terus ‘potong’ roda depan saya.

“Nasib baik cuma sedikit kulit yang luka. Saya memang takut bila nampak pembahagi jalan, saya sangka kepala saya akan terus terhentak. Mujurlah kulit saya cukup keras untuk hentikan saya sebelum sampai ke situ,” kata Pogacar.

Johannessen segera tampil memohon maaf, sambil mengakui kesilapannya yang berpunca daripada kekeliruan pergerakan peloton dan menyatakan beliau sangat bersalah terhadap Pogacar.

Lebih membanggakan, semangat kesukanan tinggi ditunjukkan peloton apabila memperlahankan kayuhan meskipun kemalangan berlaku di luar zon perlindungan tiga kilometer.

“Saya hanya ikut pergerakan peloton, termasuk Matteo Jorgenson dan beberapa pelumba lain. Saya rasa Pogacar sedang berkomunikasi melalui radio, dan kami berselisih secara tak sengaja.

“Saya memang tak mahu dia jatuh. Tiada siapa pun dalam peloton yang mahu Pogacar terjatuh. Kami terus berhenti dan tunggu. Saya betul-betul rasa bersalah,” kata pelumba Norway itu.

Ben Healy, yang kekal menyarung jersi kuning, mendedahkan beliau bersama Jonas Vingegaard sepakat menunggu Pogacar untuk memastikan tiada kelebihan tidak adil diperoleh.

Selepas 11 peringkat, Pogacar kini menghuni tangga kedua keseluruhan dengan ketinggalan 29 saat di belakang Healy, diikuti Remco Evenepoel dan Vingegaard. – AGENSI