PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi membidas prestasi hambar ditampilkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas berutama utama negara itu tersingkir di pusingan pertama Terbuka Jepun, kelmarin.
Gandingan No. 2 dunia itu tumpas mengejut kepada rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dengan keputusan straight set 15-21, 15-21 dalam tempoh hanya 30 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo.
Walaupun hadir ke kejohanan selaku pilihan kedua dan pemenang tiga gelaran musim ini termasuk Kejohanan Badminton Asia, Aaron-Wooi Yik gagal menunjukkan taring sebenar, sebaliknya tampak longlai dan tenggelam.
Herry berkata, selepas berehat panjang selama lima minggu, Aaron-Wooi Yik sepatutnya lebih bersedia dan mencatatkan keputusan yang lebih baik.
“Seharusnya tidak (lebih bersedia). Rehat sepatutnya membantu mereka lebih bersedia untuk menghadapi kejohanan ini. Mereka bermula terlalu perlahan dan lebih banyak mengikut pola permainan lawan. Itu yang menyebabkan mereka sukar mengawal permainan,” kata Herry kepada Utusan Malaysia.
Herry turut mengakui persembahan yang ditampilkan jauh daripada standard biasa Aaron-Wooi Yik yang dikenali dengan gaya agresif dan ketahanan fizikal tinggi.
“Ya, tidak seperti biasanya (gaya permainan). Bukan prestasi yang saya jangka daripada mereka,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau tetap yakin kekalahan ini mampu dijadikan pengajaran penting untuk mempersiapkan diri menjelang Terbuka China yang akan berlangsung di Beijing, minggu depan.
Beliau turut memaklumkan bahawa tahap mental Aaron-Wooi Yik ketika ini berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang tanda terganggu dengan kekalahan tersebut.
“Yang pasti, saya mahu mereka lebih baik dan lebih bersedia untuk aksi di China nanti,” katanya lagi.-UTUSAN