SME Corp. perkasakan PMKS Pantai Timur dengan ESG

Perniagaan

PETALING JAYA: SME Corp. Malaysia (SME Corp) menganjurkan Siri Kelestarian PMKS 2025 bagi memperkukuh amalan kelestarian dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Terengganu serta wilayah pantai timur di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Terengganu.

Program yang berlansung dua hari itu bertujuan membantu PMKS memperkukuh daya saing melalui pematuhan terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), di bawah inisiatif PKS lestari.

Bengkel ESG yang dijalankan pada hari pertama memberi panduan praktikal berpandukan Panduan Pantas ESG untuk PMKS, manakala seminar e-Invois pada hari kedua pula memberi pendedahan tentang pelaksanaan invois digital selaras dengan garis panduan LHDN.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, penerapan ESG memberi impak langsung terhadap peluang pasaran dan akses pembiayaan termasuk dana hijau.

Katanya, inisiatif tersebut akan menyokong Malaysia menuju ke arah pentadbiran kewangan yang lebih cekap dan menjamin masa depan perniagaan yang lebih mampan. 

“PMKS perlu mengadaptasi prinsip kelestarian secara serius kerana ia bukan sekadar keperluan pematuhan, tetapi strategi untuk kelangsungan perniagaan jangka panjang,” katanya ketika merasmikan Seminar e-Invois sempena program tersebut.

Rizal berkata, e-Invois melengkapi prinsip tadbir urus yang telus dan cekap dalam ESG, seterusnya memperkemas pelaporan kewangan dan memperkukuh keyakinan pelabur serta agensi pembiayaan.

Sementara itu, Hari Terbuka PMKS@Terengganu turut berlangsung dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan dirasmikan oleh YB Dato’ Ariffin Deraman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Negeri.

Sebanyak 20 reruai pameran melibatkan agensi kerajaan dan sektor swasta seperti TEKUN, SME Bank, YPU dan Celcom disediakan bagi memberi maklumat pembiayaan dan peluang latihan kepada usahawan PMKS. – UTUSAN