PETALING JAYA: Sembilan Ahli Parlimen PKR menyifatkan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh selaku Ketua Hakim Negara baharu sebagai peluang memperkukuh kebebasan badan kehakiman negara.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, walaupun pengumuman pelantikan itu sedikit sebanyak meredakan keresahan awam namun pelbagai persoalan masih berbangkit termasuk isu merit dan ketelusan dalam proses pelantikan.
“Kami berharap sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid menerima pelbagai pandangan ini dengan terbuka.
“Ia wajar dijadikan pedoman dan dorongan untuk membuktikan kepimpinan beliau mampu mempertahankan kebebasan institusi kehakiman bahkan mengatasi rekod cemerlang oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menyandang jawatan itu sebelum ini,” katanya.
Sembilan Ahli PKR iatu ualah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Turut disentuh mereka adalah pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang dilihat melengkapkan kepimpinan tertinggi badan kehakiman buat masa ini.
Bagaimanapun, mereka menegaskan, usaha membina institusi kehakiman yang bebas tidak seharusnya terhenti setakat pelantikan individu semata-mata, sebaliknya perlu diiringi dengan pembaharuan menyeluruh terhadap proses pelantikan dan pentadbiran kehakiman.
Antara perkara utama yang dibangkitkan termasuk memuktamadkan pelantikan 31 kekosongan hakim secepat mungkin bagi memastikan kelancaran sistem kehakiman dan menjamin proses pelantikan berasaskan merit dan kekananan demi menjaga keadilan kepada hakim-hakim yang berkhidmat lama serta menjaga mutu institusi kehakiman.
Selain itu, memastikan lantikan hakim-hakim mengikut proses yang telus selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan menolak sebarang bentuk campur tangan politik dalam urusan pelantikan hakim.
Pelantikan ini juga diharap menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat JAC termasuk dakwaan cubaan mempengaruhi keputusan kehakiman melibatkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan.
Sembilan ahli PKR itu turut berkata, kemelut pelantikan kepimpinan badan kehakiman kebelakangan ini menunjukkan perlunya reformasi untuk mengukuhkan lagi proses lantikan hakim supaya perkara itu tidak berulang.
Katanya, diharapkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memandang pelantikan hakim itu telah selesai selagi penambahbaikan kepada proses lantikan badan kehakiman tidak dibentangkan kepada rakyat.
Antara cadangan reformasi yang dikemukakan termasuk mengehadkan kuasa Perdana Menteri dalam menolak senarai calon daripada JAC dan mewajibkan alasan rasmi dikemukakan dan melantik secara automatik wakil badan guaman dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak ke dalam JAC untuk mengurangkan dominasi kuasa eksekutif.
Ia juga termasuk melibatkan Parlimen dalam pengesahan pencalonan hakim sama ada melalui pendengaran pengesahan (confirmation hearing) atau mekanisme undi Parlimen. – UTUSAN