Ekonomi Malaysia diunjur untuk 4.5% pada suku kedua

Perniagaan

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia diunjurkan tumbuh 4.5 peratus pada suku kedua 2025, meningkat sedikit berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya, menurut anggaran awalan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

DOSM berkata, momentum pertumbuhan terus kekal pada bulan April dan Mei, dengan jangkaan prestasi lebih kukuh dicatatkan pada bulan Jun. 

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana 4.4 peratus pada separuh tahun pertama 2025.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, ekonomi Malaysia terus berkembang pada suku kedua 2025, didorong oleh permintaan pengguna yang kukuh walaupun berdepan dengan cabaran global yang berterusan. 

Katanya, penggunaan domestik kekal sebagai pemacu utama, disokong oleh kesan pelarasan gaji sektor awam, cuti sekolah dan perbelanjaan bermusim semasa Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. 

“Pasaran buruh yang stabil dengan kadar pengangguran dan inflasi yang rendah turut mengukuhkan perbelanjaan isi rumah. 

“Selain itu, pelaksanaan berterusan program bantuan tunai seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut menyumbang kepada pengekalan perbelanjaan isi rumah sepanjang suku tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sektor pembuatan menunjukkan prestasi yang pelbagai dengan pertumbuhan 5.6 peratus pada bulan April sebelum menyederhana 2.8 peratus pada bulan Mei. 

Menurutnya, pertumbuhan ini disumbangkan oleh aktiviti berterusan dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) serta permintaan kukuh daripada industri berorientasikan domestik, seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP). 

“Jualan perdagangan edaran yang mencerminkan aktiviti pengguna dan perniagaan meningkat 4.4 peratus pada bulan Mei, mereda daripada 4.7 peratus pada bulan April, terutamanya didorong oleh prestasi yang stabil dalam perdagangan borong dan runcit. 

“Walau bagaimanapun, sektor luaran menunjukkan prestasi yang bercampur dengan aktiviti perdagangan berkembang lebih perlahan pada bulan Mei disebabkan permintaan yang lemah bagi eksport barangan. 

“Secara keseluruhan, walaupun perbelanjaan domestik kekal menjadi tunjang utama ekonomi, sektor luaran berdepan cabaran, dipengaruhi oleh perkembangan berkaitan tarif serta ketidaktentuan politik global yang berterusan,” jelasnya.

Melihat kepada prestasi mengikut sektor, Mohd Uzir berkata, perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada suku tahun kedua 2025, mencatatkan peningkatan 5.3 peratus (suku pertama 2025: 5.0 peratus), disumbang terutamanya oleh subsektor perdagangan borong & runcit, pengangkutan & penyimpanan dan perkhidmatan perniagaan. 

Jelasnya, sektor pembuatan pula mencatatkan pertumbuhan 3.8 peratus (suku pertama 2025: 4.1 peratus), disokong oleh pengeluaran produk elektrik, elektronik & optikal serta minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan. 

“Sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan dua digit bagi enam suku tahun berturut-turut dengan pertumbuhan 11.0 peratus (suku pertama 2025: 14.2 peratus), disokong terutamanya oleh bangunan bukan kediaman dan aktiviti pembinaan pertukangan khas. 

“Sektor pertanian mencatatkan peningkatan 2.0 peratus (suku pertama 2025: 0.6 peratus), didorong oleh subsektor kelapa sawit. 

“Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian terus menyusut kepada negatif 7.4 peratus (suku pertama 2025: -2.7%), dipengaruhi oleh pengeluaran yang lebih rendah dalam kesemua subsektornya,” katanya.

Susulan daripada anggaran awalan ini, KDNK preliminari yang menyediakan analisis terperinci dan komprehensif mengenai prestasi ekonomi bagi suku tahun kedua 2025 akan diterbitkan pada 15 Ogos 2025. – UTUSAN