PETALING JAYA: Pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan perlu kekalkan prestasi konsisten dengan memburu keputusan podium menjelang pusingan keempat pada Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) di Litar de Navarra, Sepanyol, hujung minggu ini.
Beraksi dalam kategori ESBK Talent, Qabil, 13, kini menghuni kedudukan teratas selepas mengumpul 135 mata, meninggalkan pencabar terdekatnya, Izan Rodriguez Alvarez yang keciciran 43 mata di tangga kedua (92 mata), manakala, di tempat ketiga menjadi milik Alessio Arnold dengan 82 mata.
Litar de Navarra bukanlah asing buat Qabil yang pernah menyaksikannya meraih keputusan podium sewaktu beraksi dalam kategori Moto4 pada tahun lalu.
Justeru, Qabil yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly berazam untuk kembali ke podium dalam saingan hujung minggu ini.
“Insya-Allah, jika ada rezeki, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk kembali ke podium minggu ini.
“Litar de Navarra merupakan salah satu litar kegemaran saya kerana pada tahun 2024, saya berjaya meraih petak pertama dan menamatkan perlumbaan 2 di atas podium,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan SIC Racing.
Qabil yang turut membuat persiapan rapi di Litar Antarabangsa Sepang berkata, Navarra merupakan litar teknikal dengan zon brek keras dan memiliki selekoh berganda (chicane) yang digemarinya.
Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin pula berkata, Qabil telah menunjukkan prestasi yang sangat konsisten sepanjang musim ini dan berharap dapat mengekalkan momentum untuk berada di podium, minggu ini.
“Litar Navarra merupakan salah satu litar yang sangat sesuai dengan gaya tunggangan Qabil.
“Jika kita lihat tahun lalu, dia berjaya meraih petak pertama dan menamatkan perlumbaan 2 di atas podium, saya percaya minggu ini akan menjadi cabaran besar, tetapi saya yakin Qabil mampu bersaing dengan sangat baik,” katanya.-UTUSAN