SHAH ALAM: Pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR di kesemua negeri dijangka dimuktamadkan pada akhir bulan ini.
Ketua Penerangan, Datuk Mohamed Fahmi Fadzil berkata, Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan perkara itu untuk diselesaikan sebelum jentera parti digerakkan pada bulan depan.
“Insya-Allah, sebelum akhir Julai, pelantikan bagi pengerusi MPN akan dibuat dan Perdana Menteri selaku presiden mengarahkan supaya jentera bergerak dari (bermula) Ogos,” katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Presiden PKR yang diadakan secara tertutup, hari ini.
Jelasnya, Anwar dalam ucapannya juga menyampaikan amanat supaya pimpinan dan ahli bergerak ke arah pengukuhan parti dan jentera di peringkat akar umbi,
“Sebelum ini kedengaran fenomena ada kepala tak ada badan, ekornya lain dan sebagainya, tetapi mesej beliau adalah ketua-ketua cabang dalam proses melantik ahli jawatankuasa (pimpinan negeri) perlu merangkul semua kekuatan.
“Maksudnya, walaupun dari kumpulan-kumpulan yang tewas, ataupun yang bukan daripada kelompok mereka, maka perlu disatukan,” ujarnya.
Sementara itu, turut hadir Naib Presiden, R. Ramanan memberitahu, Anwar akan mendapatkan pandangan secara kolektif daripada ketua-ketua cabang di semua negeri termasuk Selangor sebelum memutuskan sama ada melantik pengerusi MPN yang baharu atau mengekalkan penyandang.
“Presiden buat keputusan memang ketua cabang akan berikan pandangan mereka kepada beliau sebelum keputusan dibuat oleh Presiden sendiri,” ujarnya. – UTUSAN